Kapal tunggu hanya 15 jam di Westports berbanding beberapa hari di Singapura, keuntungan melonjak 42% kepada RM1.03 bilion - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kapal tunggu hanya 15 jam di Westports berbanding beberapa hari di Singapura, keuntungan melonjak 42% kepada RM1.03 bilion - Penganalisis Image from: Kapal tunggu hanya 15 jam di Westports berbanding beberapa hari di Singapura, keuntungan melonjak 42% kepada RM1.03 bilion - Penganalisis sarah22/10/2026 - 09:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt - Westports Holdings Bhd mempunyai kelebihan operasi berbanding pelabuhan Singapura apabila purata masa menunggu kapal di terminalnya hanya sekitar 15 jam berbanding beberapa hari di republik itu, sekali gus meletakkannya pada kedudukan lebih baik untuk menerima tambahan kapal.

 

Menurut BIMB Securities Research, kesesakan yang terkawal itu berlaku ketika aktiviti pemindahan kontena antara kapal (transhipment) Westports meningkat 12.3% pada suku ketiga 2026, manakala keuntungan bersih bagi sembilan bulan pertama tahun ini melonjak 42% kepada RM1.03 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah pengendalian kontena Westports meningkat 5.9% kepada 3.04 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada suku ketiga, didorong peningkatan permintaan pemindahan kontena serantau, meskipun jumlah kontena import dan eksport melalui pelabuhan (*gateway*) menyusut 2.4% berikutan aktiviti import yang lebih perlahan.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih Westports meningkat 26.4% kepada RM342.6 juta berbanding RM271.1 juta setahun sebelumnya, manakala hasil operasi melonjak 19.6% kepada RM797.7 juta daripada RM667 juta. Bagaimanapun, keuntungan bersih susut 5.1% berbanding suku sebelumnya.

 

MBSB Research pula berkata, prestasi keuntungan teras Westports bagi sembilan bulan pertama tahun ini mengatasi sedikit jangkaannya, disokong kos operasi yang lebih rendah, termasuk penurunan perbelanjaan elektrik sebanyak 28.9% hasil pengelasan tarif lebih menguntungkan, pengecualian tarif tenaga hijau serta peningkatan penjanaan tenaga solar sendiri.

 

"Kesesakan di kawasan penyimpanan kontena kekal terkawal dengan masa menunggu kapal kurang daripada sehari berbanding lebih tiga hari di Singapura, sekali gus membolehkan Westports menampung lebih banyak persinggahan kapal tambahan," menurut MBSB Research dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Sementara itu, BIMB Securities berkata, Westports menyemak turun unjuran perbelanjaan modal bagi 2026 kepada RM800 juta daripada RM900 juta, namun meningkatkan peruntukan bagi 2027 kepada RM1.5 bilion berbanding RM900 juta sebelum ini bagi menyokong pembangunan kapasiti pelabuhan.

 

Menurut firma itu, kerja penambakan tanah bagi kawasan penyimpanan kontena CY10 hingga CY13 telah mencapai kemajuan 71% setakat akhir September, manakala kerja penambakan bagi Terminal Kontena 10 (CT10) sudah siap sepenuhnya. Pembinaan kawasan penyimpanan kontena dan dermaga dijangka bermula pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan pembangunan serta pelan perniagaan.

 

Dari segi prospek, pihak pengurusan Westports mengekalkan sasaran pertumbuhan jumlah kontena pada kadar satu digit rendah bagi keseluruhan 2026, dengan MBSB Research menjangkakan suku keempat mencatatkan jumlah pengendalian kontena tertinggi tahun ini. BIMB Securities turut menyatakan jumlah kontena 'gateway' sudah menunjukkan pemulihan pada suku keempat, manakala kesesakan awal akibat perubahan laluan kapal dari Laut Merah semakin kembali normal.

 

Susulan prestasi itu, BIMB Securities mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Westports dengan harga sasaran RM7.55 sesaham, mengambil kira profil pendapatannya yang defensif dalam persekitaran ekonomi global tidak menentu. MBSB Research pula mengekalkan saranan 'Neutral', namun menaikkan harga sasaran kepada RM6.74 daripada RM6.57 selepas menyemak naik unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved