Eksport Hup Seng meningkat 5%, keuntungan dijangka melonjak 18.3% pada 2027 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport Hup Seng meningkat 5%, keuntungan dijangka melonjak 18.3% pada 2027 - MBSB Research Image from: Eksport Hup Seng meningkat 5%, keuntungan dijangka melonjak 18.3% pada 2027 - MBSB Research sarah11/11/2026 - 10:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Peningkatan eksport Hup Seng Industries Berhad sebanyak 5% bagi sembilan bulan pertama 2026 memberi perkembangan positif kepada prospek kumpulan, dengan keuntungan bersih teras dijangka melonjak 18.3% kepada RM57.7 juta pada 2027.

 

Menurut MBSB Research, pertumbuhan eksport itu disokong peningkatan jualan ke Myanmar, Thailand, Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, sekali gus membantu mengimbangi penyusutan jualan domestik sebanyak 4% dalam tempoh berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih teras Hup Seng diunjurkan meningkat daripada RM48.7 juta pada 2026 kepada RM57.7 juta pada 2027, sebelum bertambah lagi kepada RM63.2 juta pada 2028, disokong jangkaan pemulihan jualan serta disiplin kawalan kos dan kecekapan pengeluaran.

 

Bagaimanapun, hasil keseluruhan kumpulan bagi sembilan bulan pertama 2026 menyusut 2.3% kepada RM275.9 juta, berikutan permintaan domestik yang lebih perlahan, meskipun eksport mencatatkan pertumbuhan.

 

Perniagaan biskut kekal penyumbang utama

MBSB Research berkata, perniagaan pembuatan biskut terus menjadi penyumbang utama keuntungan Hup Seng apabila keuntungan operasi segmen itu meningkat 16.7% kepada RM27.7 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 berbanding RM23.8 juta setahun sebelumnya.

 

Bagi suku ketiga 2026, keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 34.2% kepada RM14.2 juta berbanding suku sebelumnya, sejajar dengan pemulihan hasil sebanyak 14.8% kepada RM98.7 juta, didorong peningkatan jualan domestik dalam kebanyakan saluran pengedaran.

 

Firma itu berkata, margin keuntungan kasar Hup Seng kekal stabil pada 31.5% bagi suku ketiga, manakala harga beberapa bahan mentah yang lebih menggalakkan membantu mengekalkan keuntungan walaupun permintaan keseluruhan masih lemah. Namun, pertumbuhan seterusnya bergantung kepada pemulihan jualan tempatan dan kestabilan kos bahan mentah.

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'Buy' terhadap Hup Seng dengan harga sasaran RM1.09 sesaham, mengambil kira kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh, kecekapan operasi serta daya tarikan dividennya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved