Iktibar RCI Tabung Haji: Bila integriti hilang, kepercayaan turut musnah

LocalOpinion
12 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Iktibar RCI Tabung Haji: Bila integriti hilang, kepercayaan turut musnah Image from: Iktibar RCI Tabung Haji: Bila integriti hilang, kepercayaan turut musnah Anekdot Mawarith12/08/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com

Kecoh besar sekarang mengenai RCI Tabung Haji. Banyak pihak telah membuat ulasan sama ada dari sudut perniagaan, perakaunan, sentimen agama dan bangsa mahupun politik.

 

Pada pandangan saya, kesemua ulasan itu, pada tahap tertentu, mempunyai kebenarannya berdasarkan perspektif dan sudut pandang masing-masing. Tiada siapa yang salah sepenuhnya dan tiada juga yang betul sepenuhnya.

 

Namun, apakah yang kita sebagai masyarakat boleh pelajari daripada episod ini? Menolak sentimen politik ke tepi, artikel saya minggu ini akan memberi fokus kepada elemen integriti dalam pengurusan organisasi.

 

Integriti ialah elemen yang menjadi faktor pemisah antara organisasi yang mapan dalam jangka panjang dengan organisasi yang rapuh dan boleh runtuh pada bila-bila masa.

 

Apakah maksud integriti dalam organisasi?

Dalam bahasa mudah, integriti membawa maksud berfikir, bertindak dan bercakap berdasarkan perkara yang benar.

 

Walaupun sesuatu hakikat itu mungkin memedihkan dan apabila diumumkan mungkin tidak disukai, atas dasar integriti, kita perlu berterus terang mengenai hakikat tersebut walaupun perit untuk ditelan.

 

Dalam kes Tabung Haji, sepatutnya pihak yang berkenaan melaporkan kerugian apabila kerugian berlaku. Tidak sepatutnya kerugian itu disorokkan, malah lebih tidak wajar jika kerugian itu ditutup melalui ‘perakaunan kreatif’ dan diterjemahkan pula sebagai keuntungan semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat.

 

Jika sesuatu kesilapan sudah berlaku, atas dasar integriti, pihak yang melakukan kesilapan itu mestilah dipertanggungjawabkan sepenuhnya, sama ada pelaku kesilapan tersebut mahupun pegawai atasannya. Semuanya perlu memikul tanggungjawab. Tiada pihak yang boleh mencuci tangan dengan mengatakan bahawa mereka tidak tahu.

 

Dalam kes Tabung Haji, segala kelemahan dalam penilaian pelaburan yang berlaku sehingga menyebabkan kerugian besar perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang terlibat.

 

Jika ada pihak yang mengambil kesempatan atau memperoleh keuntungan peribadi daripada keputusan pelaburan, siasatan terperinci mesti dibuat untuk mengenal pasti pihak yang terbabit. Pastikan tiada sesiapa yang terlepas.

 

Siasatan yang telus disusuli tindakan tuntas terhadap pihak yang bertanggungjawab ialah satu-satunya cara untuk memulihkan semula reputasi institusi.

 

Agak memeranjatkan apabila saya dimaklumkan bahawa sejak isu RCI Tabung Haji ini didedahkan, beberapa juta ringgit telah dikeluarkan oleh pendeposit setiap hari. Semuanya kerana reputasi yang telah terjejas dan keyakinan yang telah goyah.

 

Standard tadbir urus secara rasmi

Dari sudut standard integriti secara rasmi dalam organisasi, Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (Malaysian Code on Corporate Governance atau MCCG) 2021 yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ialah antara panduan yang diperkenalkan bagi membantu organisasi perniagaan di Malaysia beroperasi mengikut amalan terbaik tadbir urus korporat.

 

solar

 


Apabila standard ini diterima pakai oleh sesebuah organisasi, ia memerlukan penerimaan secara rasmi oleh Lembaga Pengarah, dinyatakan secara bertulis sebagai rekod dan diterapkan melalui latihan kepada semua pemegang taruh organisasi. Standard ini seterusnya menjadi panduan kepada tindakan organisasi pada masa hadapan.

 

Wasiyyah telah menerima pakai standard ini secara rasmi sejak versi 2016 sehinggalah versi terbaharu pada 2021. Pemakaian standard ini telah memastikan urusan tadbir urus Wasiyyah dilaksanakan mengikut amalan terbaik industri.

 

Mengapa Wasiyyah menerima pakai kod MCCG?

Siapakah yang memaksa Wasiyyah mengikat dirinya untuk mematuhi standard ini? Sebenarnya, MCCG pada asasnya ditujukan kepada syarikat tersenarai awam.

 

Oleh sebab Wasiyyah bukan syarikat tersenarai awam, kami sebenarnya tidak diwajibkan untuk mematuhi MCCG.

 

Namun, sejak 2019, Lembaga Pengarah Wasiyyah telah memutuskan bahawa adalah baik untuk Wasiyyah mendisiplinkan dirinya dengan mematuhi standard yang ketat ini. Sebab utamanya adalah kerana sebagai sebuah syarikat amanah, Wasiyyah memegang amanah berkaitan urusan penghartaan masyarakat.

 

Standard tadbir urus korporat yang sistematik dan ketat seperti MCCG 2021 akan membantu memastikan segala amanah penghartaan ini berjalan lancar tanpa boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Ia juga mewujudkan elemen semak dan imbang yang baik dalam Wasiyyah.

 

Secara langsung, perkhidmatan Wasiyyah juga akan lebih diyakini masyarakat.

 

Mengapa banyak organisasi tidak mahu menerapkan amalan tadbir urus korporat terbaik?

Masalah utama bagi mana-mana organisasi yang ingin mengamalkan standard seperti MCCG ialah kepentingan peribadi yang akan sentiasa berkonflik dengan kepentingan organisasi.

 

Ramai pemimpin organisasi akan merasakan bahawa oleh sebab merekalah yang telah mengorbankan segala-galanya untuk kemajuan organisasi, maka merekalah yang paling berhak menikmati segala hasil apabila organisasi mula stabil dan berkembang.

 

Pemimpin organisasi seperti ini pastinya tidak mahu kehendak mereka untuk menikmati keuntungan daripada organisasi disekat oleh sesiapa atau oleh mana-mana standard tadbir urus korporat.

 

Tidak sedikit dalam kalangan pemimpin organisasi yang saya kenali menganggap wang organisasi seperti wang peribadi mereka.

 

Ada yang membeli harta peribadi seperti rumah dan kereta menggunakan wang organisasi, malah melancong ke luar negara secara mewah menggunakan dana organisasi.

 

Amanah dari pelanggan

Sepanjang lebih 22 tahun saya membangunkan industri perancangan harta pusaka Islam di Malaysia, saya belajar bahawa selain modal, teknologi atau rangkaian perniagaan, integriti ialah aset paling penting yang harus ada dalam diri pengasas dan peneraju industri.

 

Integriti memastikan kita berada di landasan yang betul. Ia membantu memastikan kita terus teguh bekerja tanpa tewas kepada godaan harta dan tersasar daripada matlamat sebenar.

 

Ramai pemimpin menguruskan organisasi dengan semangat yang tinggi pada peringkat awal. Namun, apabila berhadapan dengan cabaran dan godaan harta, prinsip integriti mula dikorbankan.

 

Di sinilah integriti diuji.

 

Integriti bukan sekadar tidak melakukan perkara yang salah. Integriti ialah keberanian untuk terus melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhati. Integriti ialah keupayaan mempertahankan prinsip ketika prinsip tersebut menyebabkan kita kehilangan peluang yang kelihatan menguntungkan.

 

Dalam industri perancangan harta pusaka Islam, integriti bukan pilihan, sebaliknya satu keperluan.

 

Pelanggan menyerahkan amanah yang amat besar kepada kami. Mereka mempercayakan kepada kami dokumen yang melibatkan harta, keluarga dan masa depan generasi mereka. Sekali kepercayaan itu dikhianati, bukan sahaja syarikat yang rugi, malah keseluruhan industri akan menerima kesannya.

 

Integriti Jadi Kompas

Saya masih mengingati fasa awal pembangunan Wasiyyah bermula pada 2004.

 

Ketika itu, kesedaran masyarakat mengenai perancangan harta pusaka Islam masih rendah. Ramai yang tidak memahami kepentingan hibah, wasiat dan pengurusan pusaka. Ada yang mempersoalkan model perniagaan kami. Ada juga yang meragui kemampuan syarikat untuk bertahan.

 

Namun, kami memilih untuk terus bergerak. Hari ini, apabila lebih 100,000 pelanggan telah memilih Wasiyyah dan lebih RM50 bilion aset berada di bawah perlindungan dokumentasi yang kami uruskan, saya melihat pencapaian ini bukan sekadar kejayaan perniagaan. Ia adalah bukti bahawa integriti mampu menghasilkan impak yang besar apabila diamalkan secara konsisten.

 

Saya sering berpesan kepada pasukan di Wasiyyah bahawa kita mungkin tidak mampu mengawal semua keadaan yang berlaku di luar organisasi. Ekonomi boleh berubah. Peraturan boleh berubah. Teknologi boleh berubah. Kehendak pelanggan juga boleh berubah.

 

Namun, kita sentiasa mempunyai kuasa untuk mengawal nilai yang kita pegang. Jika integriti menjadi kompas, insya-Allah organisasi akan sentiasa mempunyai arah dan kekuatan untuk meneruskan perjalanan.

 

RCI Tabung Haji harus menjadi iktibar kepada kita dari sudut penerapan integriti dan amalan terbaik tadbir urus korporat. - DagangNews.com

Kolumnis Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved