RCI Tabung Haji: Armizan minta penjelasan 5 isu utama

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 4:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

RCI Tabung Haji: Armizan minta penjelasan 5 isu utama

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali meminta kerajaan memberikan penjelasan terhadap lima isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), termasuk pengurusan aset, pelaburan dan integriti proses audit.

Beliau berkata penjelasan itu penting bagi memastikan dapatan RCI tidak sekadar menjadi bahan perdebatan, sebaliknya disusuli tindakan sewajarnya untuk memulihkan dan memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan.

Katanya, antara perkara yang perlu dijelaskan ialah rasional kerajaan menangguhkan penzahiran laporan RCI sebelum ini, termasuk sama ada langkah itu berjaya memulihkan keyakinan terhadap TH, selain keputusan pada 2018 membabitkan penjualan sebahagian aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) serta status komitmen dan implikasi kewangan kerajaan.

“Ada dakwaan tindakan kerajaan pada 2018 memutuskan agar TH menjual sebahagian asetnya kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah tidak wajar sehingga menjejaskan bukan sahaja TH, malah kewangan negara.

“Mohon diterangkan secara terperinci sejauh mana tindakan tersebut telah memulihkan TH dan status semasa komitmen serta implikasi kewangan kerajaan susulan pelaksanaan strategi berkenaan,” katanya ketika membahaskan Laporan RCI di Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Armizan turut meminta penjelasan berhubung pandangan kerajaan terhadap syor RCI mengenai pengukuhan tatakelola pelaburan dan pengawalseliaan TH, memandangkan antara dapatan laporan itu ialah kelemahan dalam proses kelulusan pelaburan.

Beliau berkata antara pelaburan yang didakwa mencurigakan ialah urusan membabitkan beberapa syarikat seperti Putrajaya Perdana, Al Rawda dan Deru Semangat.

“Didakwa keputusan-keputusan berkaitan dibuat tanpa ‘due diligence’ yang sewajarnya dan diluluskan oleh pihak yang tidak semestinya mempunyai kepakaran dalam bidang pelaburan,” katanya.

Armizan turut meminta penjelasan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap syor RCI supaya kajian forensik dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 14 pelaburan yang disifatkan mencurigakan.

Beliau berkata terdapat pihak yang menganggap kerugian hampir RM13 bilion yang dialami TH sehingga 2018 berpunca daripada turun naik biasa pasaran saham, namun laporan RCI jelas mendapati proses pelaburan yang tidak teratur di TH merupakan puncanya.

“Isu berkaitan TH sebelum ini banyak dibayangi pertikaian serta tuduh-menuduh sehingga mengelirukan rakyat dan dikhuatiri juga sekiranya ada insan yang sebenarnya telah terfitnah, iaitu menjadi mangsa fitnah kerana dicanang telah menjadi punca dan sumber kepada sebuah fitnah.

“Tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha menyelamatkan Tabung Haji, sebuah institusi yang diamanahkan mengurus tabungan umat Islam, selain menangani implikasi penggunaan dana awam bagi tujuan pemulihan institusi ini memandangkan TH kini mempunyai 9.7 juta pendeposit di seluruh negara, termasuk 597,983 pendeposit di Sabah,” katanya.

Justeru, katanya, siasatan di peringkat agensi penguatkuasaan susulan dapatan RCI amat dialu-alukan, namun perlu dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan kepada semua pihak, khususnya pendeposit.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata laporan RCI itu turut menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti laporan audit negara yang dikemukakan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

Menurutnya, sebagai anggota pentadbiran, beliau selama ini menjadikan ulasan Ketua Audit Negara sebagai antara sandaran utama ketika meneliti laporan tahunan agensi serta badan berkanun kerajaan kerana yakin terhadap integriti institusi itu dan setiap laporannya.

Bagaimanapun, katanya, dapatan RCI TH sedikit sebanyak menimbulkan persoalan mengenai tahap integriti laporan audit yang dipersembahkan kepada kerajaan dan Parlimen.

“Sehubungan itu, mohon dijelaskan apakah pendirian kerajaan berhubung isu audit yang dibangkitkan dalam Laporan RCI dan sekali gus bagaimana kerajaan dapat meyakinkan bahawa tahap integriti Laporan Ketua Audit Negara, termasuk pada masa kini, tetap boleh diyakini sejajar dengan amanah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada masa sama, Armizan mengalu-alukan usaha Jabatan Audit Negara memperkenalkan Auditor General Dashboard (AGD) yang memberikan akses kepada dapatan audit serta tindakan susulan.

Beliau turut menggesa supaya diwujudkan kerangka perundangan dan tadbir urus yang kukuh bagi menghentikan amalan “gali lubang, tutup lubang” dalam pengurusan kewangan badan berkanun dan kerajaan kerana amalan sedemikian boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kewangan negara dan akhirnya diwarisi generasi akan datang.

Pada akhir ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Tabung Haji atas pelbagai inisiatif pemulihan yang dilaksanakan sehingga institusi berkenaan kembali berada dalam kedudukan yang lebih sihat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved