
PETALING JAYA: Polis memerlukan keterangan 14 saksi di Indonesia bagi membantu siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Keterangan itu bagi melengkapkan dua kertas siasatan khususnya membabitkan urusan pembelian dan penjualan saham serta syarikat berkaitan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, permohonan sudah dibuat melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi mendapatkan keterangan semua saksi.
“Kita memang sudah memohon. Jika mereka boleh datang ke Malaysia, kita akan ambil keterangan.
“Jika mereka tidak boleh datang, kita akan berusaha pergi ke sana atau menggunakan protokol undang-undang yang ada mengikut MLA,” katanya hari ini.
Rusdi berkata, seramai 10 individu terdiri daripada pemegang amanah, ahli lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO) dipanggil semula bagi mendapatkan maklumat tambahan berhubung siasatan itu.
Beliau berkata, sebahagian daripada mereka pernah dipanggil sebelum ini untuk memberikan keterangan.
“Kalau kita tengok laporan RCI itu, ada nama disebutkan di situ dan kita boleh agak siapa yang dipanggil,” jelasnya.
Rusdi berkata, polis telah merekodkan keterangan 134 saksi termasuk 10 individu yang dipanggil semula.
Beliau tidak menolak kemungkinan, individu lain yang tidak disenaraikan dalam laporan RCI TH turut dipanggil untuk memberikan keterangan, sekiranya diperlukan berdasarkan perkembangan siasatan.
Pada 5 Ogos lalu, JSJK memaklumkan, telah membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan polis diterima berhubung pendedahan laporan RCI itu.
Laporan terbabit dibuat oleh TH dan anak syarikatnya serta orang awam.
Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang merangkumi Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Pada 29 Julai lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dokumen setebal 211 halaman itu memuatkan ringkasan eksekutif, empat bab utama, senarai ekshibit, penemuan siasatan dan syor penambahbaikan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. –UTUSAN
The post RCI TH: Keterangan 14 saksi di Indonesia diperlukan appeared first on Utusan Malaysia.






