Imam muda ‘tarik belia’ ke masjid

17 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Imam muda ‘tarik belia’ ke masjid

MELAKA – Seorang imam muda di Masjid Al-Ibadah, Kampung Bukit Piatu, di sini, menggunakan pendekatan mesra belia dengan membahagikan program mengikut peringkat umur dalam usaha menarik lebih ramai anak kariah mengimarahkan masjid.

Hafizuddin Mohd. Nor, 36, yang juga anak jati Kampung Bukit Piatu berkata, minatnya terhadap bidang agama mula dise­mai sejak di bangku sekolah ketika menuntut di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam Diploma Sains (Biologi) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Apabila kembali ke kampung, saya rasa bertanggungjawab untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menjadi imam di kariah sendiri.

“Sejak dilantik sebagai imam 2 pada 2022, saya cuba bawa pendekatan berbeza dengan membahagikan program ikut umur supaya semua lapisan masyarakat dapat manfaat.

“Kanak-kanak kita fokuskan kepada kelas fardhu ain, orang muda pula kepada program se­perti amali sembelihan, manakala warga emas kita adakan klinik al-Fatihah,” katanya.

Beliau yang juga bekerja sebagai jurulatih serta menguruskan syarikat perunding acara berkata, cabaran utama sebagai imam muda adalah kekangan kewangan kerana elaun diterima sekitar RM950 sebulan selain saguhati pihak masjid RM150.

“Kalau ikut logik memang tidak mencukupi, sebab itu imam muda perlu ada kerjaya lain untuk meneruskan kehidupan.

“Bagaimanapun, minat dan tanggungjawab kepada masyarakat membuatkan saya terus komited,” ujarnya.

Katanya, pendekatan mesra dan sebaya memudahkan golongan muda mendekati masjid, sekali gus mengubah persepsi bahawa institusi itu hanya untuk golongan berusia.

“Alhamdulillah, anak-anak muda di kariah ini beri respons sangat baik kerana mereka rasa lebih selesa dan seronok untuk sertai program yang dianjurkan.

“Bila imam rapat de­ngan mereka, lebih mudah untuk kita tarik mereka ke masjid,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizuddin turut menganjurkan Karnival Geng Mahabbah Masjid Al-Ibadah (GeMMA) sebagai platform me­ngumpulkan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti menarik.

“Karnival ini kita isi dengan pelbagai program seperti amali sembelihan, maulid arbain, pertandingan azan kanak-kanak, nasyid serta malam GeMMA Kasih bersama kumpulan nasyid Inteam.

“Kita juga adakan Larian GeMMA Ibadah bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan muda,” katanya.

The post Imam muda ‘tarik belia’ ke masjid appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved