
Oppo Find X9 Ultra menjadi peranti terkini yang mendapat tumpuan ramai. Tambahan pula apabila buat pertama kalinya ia bakal ditawarkan secara global selepas sebelum ini hanya tersedia di pasaran China. Penawaran ini sekali gus memberi persaingan sengit kepada pengeluar lain yang turut membawa versi ultra mereka ke pasaran antarabangsa tahun ini.

Menambah keterujaan ini adalah imej baharu yang memperlihatkan Oppo Find X9 Ultra dalam warna hitam, ditemui tular melalui salah seorang pengguna Weibo dan dipetik oleh Gizmochina. Imej tersebut menunjukkan keseluruhan rekaan peranti dengan modul kamera bersaiz besar yang mendominasi bahagian belakang sekaligus memberikan penampilan simetri dan kemas.

Di dalam modul itu, susunan kameranya dilihat tidak sekata. Konfigurasi kameranya dijangka termasuk kamera utama Sony LYT-901 200MP, ultra-lebar 50MP serta dua periskop dengan lensa OmniVision OV52A 200MP bersama zum optik 3X dan sensor Samsung JN5 50MP dengan zum optik 10X. Turut disertakan ialah sensor tambahan 3.2MP yang berfungsi untuk meningkatkan ketepatan warna lebih semula jadi.
Find X9 Ultra akan dilancarkan secara rasmi pada 21 April 2026 di pasaran global dan juga di China. Semua butiran penuh mengenai peranti ini hanya akan diketahui selepas pelancaran berlangsung kelak.

