Imigresen Kelantan gempur lapan premis, tahan 23 PATI

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Imigresen Kelantan gempur lapan premis, tahan 23 PATI

KOTA BHARU, 6 OGOS: Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan menahan 23 pendatang tanpa izin menerusi Ops Kutip, Ops Minyak, Ops Mahir, Ops Sapu dan Ops Belanja yang dijalankan di lapan premis sekitar Kota Bharu dan Bachok selama dua hari berakhir semalam.

Pengarah JIM Kelantan Garry Belayong John Siki berkata operasi yang disertai 17 pegawai penguat kuasa itu memeriksa 168 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

Beliau berkata 23 warga asing berusia 24 hingga 45 tahun yang ditahan membabitkan 20 lelaki dan tiga wanita kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Antara warga asing yang diperiksa ialah dari Indonesia, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, Kemboja, Bangladesh dan Myanmar. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat pas atau permit dikeluarkan JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tangkapan terbesar direkodkan di sebuah kilang di Bachok melibatkan 12 warga asing hasil pemeriksaan terhadap 117 individu di premis berkenaan.

Katanya, turut ditahan ialah tiga warga Indonesia di sebuah tapak pembinaan di Kampung Kubang Lembu, enam warga Kemboja di Jalan Panchor Kemumin serta dua warga Pakistan di dua premis berasingan di Kota Bharu.

“Mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan dibawa ke depot imigresen untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved