
PETALING JAYA: Lima lagi pegawai Jabatan Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Penahanan itu menjadikan seramai 17 individu diambil keterangan setakat ini bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, kelima-lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan pada pukul 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs, di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah.
“Susulan tangkapan itu SPRM menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek,” katanya hari ini.
SPRM juga membekukan sembilan akaun perbankan melibatkan nilai kira-kira RM300,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini,” katanya. – UTUSAN
The post SPRM tahan lima lagi pegawai imigresen subahat godam MyIMMs appeared first on Utusan Malaysia.






