Imigresen Selangor tahan 64 PATI dalam dua operasi di Klang, Subang Jaya

29 Jul 2026 • 2:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Imigresen Selangor tahan 64 PATI dalam dua operasi di Klang, Subang Jaya

SHAH ALAM, 29 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi dua operasi berasingan di Klang dan Subang Jaya yang dijalankan minggu ini.

Menerusi kenyataan di Facebook, JIM Selangor memaklumkan seramai 45 warga asing ditahan dalam Ops Bersama MBSA (Ops Sapu) dan Ops Mahir yang dijalankan di sekitar daerah Shah Alam pada Selasa.

Operasi bermula jam 10 pagi itu membabitkan 18 pegawai penguat kuasa dan dijalankan di Lot 4062M, Jalan Hamzah Off Jalan Paip, Kampung Budiman, Meru, Klang serta sebuah kilang di Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam.

"Hasil operasi mendapati seramai 45 warga asing diperiksa dan kesemuanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," menurut kenyataan itu.

Turut dikeluarkan tiga saman saksi manakala seorang majikan diambil tindakan bagi membantu siasatan.

Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki pas atau permit sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal melebihi tempoh dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama serta kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, dalam Ops Dandan dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar Subang Jaya pada Ahad lalu, seramai 19 warga asing turut ditahan.

Operasi bermula jam 2 petang itu melibatkan 16 pegawai penguat kuasa hasil risikan, aduan awam dan pemantauan terhadap premis perniagaan serta kawasan yang disyaki menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen sah.

Seramai 22 individu diperiksa membabitkan warga tempatan dan warga asing, dengan 19 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Empat saman saksi turut dikeluarkan manakala seorang majikan diambil tindakan bagi membantu siasatan.

Warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Myanmar, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.

Kesemua mereka dibawa ke pejabat imigresen untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

JIM Selangor berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI, mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen sah serta memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved