
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mencari jalan bagi membantu kira-kira 400 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) yang bakal terjejas susulan penutupan operasi syarikat itu di Shah Alam dalam tempoh dua bulan lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai perkembangan tersebut dan akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan maklumat terperinci sebelum merangka langkah intervensi.
“Kami akan mendapatkan angka sebenar pekerja yang diberhentikan daripada JTK Selangor dan Perkeso. Kemudian kami akan melihat bentuk intervensi yang boleh dilaksanakan bagi membantu mereka,” katanya selepas Program Jom Shopping Perayaan sempena Hari Pahlawan Peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata, antara bantuan yang sedang dipertimbangkan termasuk menempatkan pekerja terbabit di kilang lain yang memerlukan kemahiran sama selain menawarkan latihan semula menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan bagi membuka peluang kerjaya baharu.
Sementara itu, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri akan meneliti secara menyeluruh bantahan penduduk terhadap cadangan pembinaan pusat data di Kota Damansara sebelum memutuskan sama ada projek itu diteruskan atau dipindahkan ke lokasi lain.
“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima memorandum bantahan daripada beberapa penduduk kawasan berkenaan semalam. Kami akan teliti asas kebimbangan penduduk ini mengapa mereka bantah. Kalau kebimbangan itu disebabkan sentimen, kami tidak akan pertimbangkan sebab itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor bantu 400 pekerja Panasonic appeared first on Kosmo Digital.





