Imigresen tumpas sindiket ‘love scam’, 21 individu ditahan

21 Aug 2026 • 11:53 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Imigresen tumpas sindiket ‘love scam’, 21 individu ditahan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 21 individu termasuk empat dipercayai dalang utama sindiket penipuan cinta dalam talian ditahan dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi khas bermula jam 5.55 petang itu dilaksanakan selepas risikan selama sebulan dan maklumat awam, lapor Berita Harian.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan serta dua warga China berusia antara 50 hingga 53 tahun ditahan di KLIA sebelum soal siasat membawa pihak berkuasa ke sebuah kediaman di Taman Desa Melati, Nilai.

Pemeriksaan di kediaman itu menemukan 18 warga asing berusia antara 23 hingga 33 tahun, dengan empat daripada mereka dipercayai dalang utama iaitu dua lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Russia.

“Sindiket menjadikan kediaman mewah di kawasan terpencil itu sebagai pusat operasi penipuan dalam talian.

“Mereka menggunakan Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa menerusi taktik penipuan cinta atau love scam serta penjualan barangan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata ahli sindiket menggunakan skrip disediakan untuk memperdaya mangsa di luar negara dan menerima komisen berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya diperdayakan.

Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun itu mampu mengaut keuntungan sehingga AS$50,000 (RM202,280).

Siasatan awal turut mendapati sindiket menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia termasuk menyasarkan warga China yang disenarai hitam Imigresen.

Dua warga China yang ditahan di KLIA dipercayai memiliki pasport dengan nombor berbeza bagi mengelakkan sekatan kemasukan, manakala lelaki tempatan terbabit dipercayai dibayar antara RM150 hingga RM500 seorang untuk menghantar mereka ke lokasi ditetapkan.

Dalam operasi itu, Imigresen turut menyita pasport, komputer, telefon bimbit, wang tunai RM4,800 dan sebuah Proton X70 yang dipercayai berkaitan kegiatan sindiket.

Semua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved