
PETALING JAYA – Sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa luar negara terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menahan 21 individu dalam operasi khas di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.
Operasi bermula kira-kira pukul 5.55 petang itu dilaksanakan hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Keselamatan dan Pasport, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi di KLIA membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dipercayai ahli sindiket bersama dua warga China, masing-masing lelaki dan wanita berusia antara 50 hingga 53 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai menguruskan kemasukan warga asing ke negara ini, termasuk membantu warga China yang telah disenarai hitam oleh JIM.
“Suspek yang disenarai hitam dipercayai memiliki dua naskhah pasport China dengan nombor berbeza. Pasport yang tidak disenarai hitam digunakan untuk melepasi pemeriksaan menerusi e-Gate di KLIA, manakala pasport yang disenarai hitam ditemukan dalam beg kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ahli sindiket yang ditahan dipercayai berperanan menghantar warga China berkenaan ke lokasi ditetapkan dengan bayaran antara RM150 hingga RM500 seorang, bergantung kepada destinasi.
Hasil serbuan itu, pihaknya menyita empat pasport China, empat telefon bimbit serta sebuah Proton X70 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan tersebut.
Susulan soal siasat, pasukan operasi kemudian menyerbu sebuah premis kediaman di Taman Desa Melati, Nilai dan menahan 18 individu lain termasuk empat yang dipercayai dalang utama sindiket.
Tangkapan terdiri daripada dua lelaki warga China, seorang wanita China dan seorang wanita Rusia yang dipercayai bertindak sebagai dalang utama, selain 14 ahli sindiket terdiri daripada sembilan lelaki China, seorang lelaki Vanuatu, seorang lelaki Pakistan, seorang wanita China, seorang wanita India dan seorang wanita Myanmar.
Kesemua warga asing berusia antara 23 hingga 33 tahun dan semakan awal mendapati mereka memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Dalam serbuan itu, JIM turut menyita 28 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia, selain 11 set komputer meja, sebuah komputer riba, 40 telefon bimbit serta wang tunai RM4,800.
Zakaria berkata, siasatan mendapati premis kediaman mewah di kawasan terpencil itu dipercayai dijadikan pusat operasi penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di luar negara.
Menurutnya, sindiket menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp bagi memperdayakan mangsa menerusi taktik ‘love scam’ serta penjualan barangan palsu pada harga yang ditawarkan seolah-olah tulen.
“Ahli sindiket diberikan skrip untuk digunakan ketika berhubung dengan mangsa, manakala komisen diberikan berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya diperdayakan.
“Sindiket ini dipercayai mampu memperoleh keuntungan sehingga AS$50,000 menerusi kegiatan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua kegiatan berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun ini.
Kesemua 21 individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 bagi ahli sindiket warga tempatan dan empat dalang utama warga asing, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket ‘love scam’ guna rumah mewah, 21 individu ditahan appeared first on Kosmo Digital.






