
SEPANG: Kejayaan mencipta sejarah menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel Glasgow 2026 bukan penamat buat Amir Daniel Abdul Majeed, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada misi lebih besar memburu pingat sulung negara di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Atlet berusia 22 tahun itu berkata, fokusnya kini bukan sekadar memburu tiket ke temasya terbesar dunia berkenaan, malah mahu memastikan dirinya mampu berdiri di podium dan melakar sejarah baharu buat sukan judo negara.
“Dalam gambaran lebih besar, sasaran utama saya ialah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan saya berharap bukan sekadar layak, tetapi mampu memenangi pingat untuk Malaysia,” katanya.
Amir berkata, laluan ke Olimpik sudah pun bermula apabila dia kini giat mengumpul mata kelayakan menerusi penyertaan dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF), termasuk Grand Slam Mongolia dan Grand Prix China.
“Sekarang ranking saya di tangga ke-117 dunia dan saya perlu terus mengumpul mata untuk memperbaiki kedudukan kerana kelayakan Olimpik ditentukan menerusi ranking dunia.
“Saya percaya ia bukan sesuatu yang mustahil jika saya dapat menampilkan keputusan yang baik dalam setiap kejohanan,” katanya.
Dalam masa sama, Amir menganggap Sukan Asia Aichi-Nagoya sebagai pentas terbaik untuk mengukur tahap sebenar kemampuannya kerana temasya itu menghimpunkan kuasa besar judo seperti Jepun, Korea Selatan, China, Kazakhstan dan Tajikistan.
“Secara realistik, Sukan Asia ibarat mini Olimpik dan sasaran saya ialah memenangi sekurang-kurangnya dua perlawanan kerana pendedahan di pentas itu lebih penting sebagai persediaan menuju Olimpik,” katanya.
Beliau turut berharap dapat diberikan lebih banyak peluang menyertai kem latihan serta kejohanan antarabangsa memandangkan pengalaman berdepan atlet elit dunia menjadi antara faktor penting untuk mempercepatkan peningkatan prestasinya menjelang misi memburu tiket ke LA 2028. – UTUSAN
The post Impian Olimpik bakar semangat Amir Daniel appeared first on Utusan Malaysia.






