
PUTRAJAYA: Tiada perubahan ketara pada Mohd. Yazid, 44, dan isterinya, Nur Wajihah Tamaran, 39, yang maut dalam kemalangan di Salak Tinggi, menurut ahli keluarga yang kali terakhir bertemu pasangan itu sebelum kejadian.
Kakak Yazid, Juliana Senin, 46, berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya kira-kira seminggu lalu dan ketika itu Yazid kelihatan sihat seperti biasa.
“Saya jumpa dia seminggu lepas. Dia sihat, macam biasa. Kalau ada apa-apa acara barulah kami berjumpa,” katanya ketika ditemui hari ini di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya, di sini.
Menurutnya, berita mengenai kejadian itu diterima daripada rakan Yazid sebelum dia bergegas mendapatkan perkembangan mengenai adiknya.
Juliana berkata, kehilangan Yazid amat dirasai keluarga, terutama anak mangsa yang masih kecil dan kini perlu melalui kehidupan tanpa kedua-dua ibu bapanya.
“Anak dia tahu apa yang berlaku, cuma dia masih kecil dan tidak boleh tunjuk sangat ekspresi. Dia terkejut, tetapi dia terima,” katanya.
Sementara itu, kakak kepada Wajihah, Norbadariah Tomaran, 42, berkata, kali terakhir dia bertemu pasangan itu kira-kira dua minggu lalu ketika mereka sekeluarga mengambil Yazid dan Wajihah di lapangan terbang selepas pulang daripada mengerjakan umrah.
“Lepas itu macam biasa saja. Mereka bergurau dan memang tidak ada apa-apa yang nampak berbeza.
“Malam sebelum kejadian pun kami bercakap melalui telefon dengan arwah dan semuanya seperti biasa,” katanya.
Norbadariah berkata, kehilangan pasangan itu amat dirasai kerana dia dan Wajihah mempunyai hubungan yang sangat rapat sebagai adik-beradik.
Katanya, Yazid dan Wajihah juga sebelum ini menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah bersama dan impian itu akhirnya tercapai.
Jenazah Yazid dan Wajihah akan dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.
Terdahulu, seorang lelaki dan seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, berdekata Desa Pinggiran Putra di sini petang semalam. – UTUSAN
The post Impian tunai umrah tercapai, tiada perubahan sebelum suami, isteri maut appeared first on Utusan Malaysia.






