Pasangan maut motosikal rempuh lori baru pulang umrah

29 Sep 2026 • 4:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pasangan maut motosikal rempuh lori baru pulang umrah

PUTRAJAYA – Hasrat pasangan suami isteri, Mohd. Yazid Senin, 44, dan Nur Wajihah Tomaran, 39, untuk menunaikan umrah bersama tercapai apabila mereka baru sahaja pulang daripada Tanah Suci kira-kira dua minggu lalu, sebelum maut dalam kemalangan berhampiran Desa Pinggiran Putra, petang semalam.

Kakak kepada Wajihah, Norbadariah Tomaran, 42, berkata, kali terakhir dia bertemu pasangan itu ketika mereka sekeluarga mengambil Yazid dan Wajihah di lapangan terbang selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

“Lepas itu macam biasa saja. Mereka bergurau-gurau dan memang tidak ada apa-apa yang nampak berbeza.

“Malam sebelum kejadian pun kami bercakap melalui telefon dengan arwah dan semuanya seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Yazid dan Wajihah sebelum ini menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah bersama dan impian itu akhirnya tercapai.

“Mereka memang nak sangat pergi umrah sama-sama. Mereka dapat pergi dan kami bersyukur mereka sempat tunaikan hasrat itu,” katanya.

Norbadariah berkata, kehilangan pasangan itu amat dirasai kerana dia dan Wajihah mempunyai hubungan yang sangat rapat sebagai adik-beradik.

Sementara itu, kakak Yazid, Juliana Senin, 46, berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya kira-kira seminggu lalu dan ketika itu Yazid kelihatan sihat seperti biasa.

“Saya jumpa dia seminggu lepas. Dia sihat, macam biasa. Kalau ada apa-apa acara barulah kami berjumpa,” katanya.

Menurutnya, berita mengenai kejadian itu diterima daripada rakan Yazid sebelum dia bergegas mendapatkan perkembangan mengenai adiknya.

Juliana berkata, kehilangan Yazid amat dirasai keluarga, terutama anak mangsa yang masih kecil dan kini perlu melalui kehidupan tanpa kedua-dua ibu bapanya.

“Anak dia tahu apa yang berlaku, cuma dia masih kecil dan tidak boleh tunjuk sangat ekspresi. Dia terkejut, tetapi dia terima,” katanya.

Jenazah Yazid dan Wajihah akan dikebumikan bersama di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki dan seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, berdekatan Desa Pinggiran Putra, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya sebelum terbabit kemalangan. – KOSMO! ONLINE

The post Pasangan maut motosikal rempuh lori baru pulang umrah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved