Tahukah anda bahawa sebelum ini, Malaysia merupakan tapak pelupusan pelbagai jenis sampah dari negara-negara barat? Perkara ini telah diketengahkan di Parlimen Malaysia untuk beberapa ketika, dan terkini, undang-undang negara telah dikemaskini untuk mengharamkan import bahan tersebut.
Kerajaan Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa ia kini mengharamkan sepenuhnya pengimportan sampah elektronik (e-waste) mulai 1 April 2026, menjadikannya barang larangan mutlak di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata langkah itu selaras dengan keputusan yang dibuat semasa Mesyuarat Pasukan Petugas Khas mengenai Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Sisa No. 2 Tahun 2026.
“Penguatkuasaan larangan ini akan dilaksanakan secara menyeluruh di semua pintu masuk negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk e-waste secara tidak sah.”.
Pihak JKDM juga akan bekerjasama dengan badan-badan kerajaan lain seperti Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia untuk memastikan bahawa sampah-sampah ini tidak memasuki sempadan negara walau dengan apa cara sekalipun.




