
JAKARTA: Kos mengerjakan ibadah haji bagi jemaah Indonesia dijangka meningkat tahun depan apabila kerajaan mencadangkan purata kos penyelenggaraan sebanyak 107.34 juta rupiah (RM24,362) seorang pada 2027.
Cadangan itu meningkat hampir 20 juta rupiah berbanding 87.41 juta rupiah (RM19,800) tahun ini, susulan kenaikan harga bahan api penerbangan serta penyusutan nilai rupiah berbanding dolar AS.
Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Mochamad Irfan Yusuf, berkata demikian dalam mesyuarat kerja bersama Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) di Jakarta semalam.
Menurutnya, perkembangan geopolitik di Asia Barat turut menyumbang kepada turun naik harga minyak dunia, sekali gus memberi kesan terhadap kos perjalanan udara.
“Kerajaan mencadangkan purata Kos Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH) sebanyak 107.34 juta rupiah bagi setiap jemaah, terdiri daripada sumbangan langsung jemaah sebanyak 42.94 juta rupiah (RM9,743), atau 40 peratus, dan peruntukan dana manfaat sebanyak 64,404,103.21 rupiah (RM14,618), atau 60 peratus,” katanya.
BPIH merangkumi bayaran ditanggung jemaah serta pulangan pelaburan atau dana manfaat yang diuruskan Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH) daripada musim haji terdahulu.
Pada 2026, BPIH ditetapkan sebanyak 87.41 juta rupiah (kira-kira RM19,800) bagi setiap jemaah, dengan jemaah menanggung 62 peratus manakala BPKH membiayai baki 38 peratus.
Yusuf berkata, struktur pembiayaan yang dicadangkan itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan, selain memastikan jumlah bayaran ditanggung secara langsung jemaah kekal pada kadar berpatutan.
Cadangan itu dibuat berdasarkan kadar pertukaran 17,500 rupiah bagi setiap dolar AS dan 4,666.67 rupiah bagi setiap riyal Saudi.
Kerajaan turut bercadang mengekalkan elaun sara hidup jemaah sebanyak 750 riyal Saudi, sama seperti tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kos penerbangan dicadangkan meningkat kepada 40.53 juta rupiah (kira-kira RM9,200) bagi setiap jemaah berbanding 32.01 juta rupiah (kira-kira RM7,260) pada 2026.
Cadangan BPIH itu akan dibincangkan lanjut bersama Parlimen sebelum dimuktamadkan, dengan kerajaan berusaha memastikan proses berkenaan selaras dengan jadual ibadah haji yang ditetapkan Arab Saudi.- ANTARA
The post Indonesia cadang naikkan kos haji tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.




