
Indonesia mendakwa negara itu bukan sahaja menghantar asap akibat kebakaran hutan dan tanah, malah turut membekalkan oksigen kepada negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura melalui kawasan hutannya.
Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, pihaknya berharap kedua-dua negara memahami situasi kebakaran hutan yang sedang berlaku di beberapa wilayah Indonesia sehingga menyebabkan jerebu merentasi sempadan.
Menurut laporan portal berita Indonesia, IDN Times, Syahganda turut mendakwa kebakaran berkenaan berpunca daripada faktor semula jadi dan bukannya disebabkan perbuatan manusia.
“Hubungan kita dengan Malaysia cukup baik. Indonesia juga berusaha menjelaskan bahawa kita bukan sekadar menghantar asap, tetapi apabila tiada asap, Indonesia turut menghantar oksigen.
“Oksigen di Singapura dan Malaysia juga datang daripada hutan-hutan di Indonesia,” katanya.
Malaysia-Singapura Diselimuti Asap Karhutla, Bakom: Di Luar Human Error, Ini Betul-betul Alam
Baca di https://t.co/d6Q9ujNh5S pic.twitter.com/bx2wHQtqBc
Kejadian luar kawalan
Syahganda berkata, kebakaran hutan dan tanah yang berlaku ketika ini disifatkannya sebagai kejadian di luar kawalan manusia.
Sehubungan itu, beliau meminta negara jiran yang terjejas akibat jerebu supaya memahami keadaan yang sedang dihadapi Indonesia.
Dalam pada itu, Syahganda mengesahkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi membincangkan langkah menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, perbincangan itu turut menyentuh cadangan untuk mengadakan rundingan antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Arrmanatha Nasir.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan belum mengetahui secara terperinci langkah bersama yang bakal dilaksanakan kedua-dua negara berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, Syahganda turut meluahkan rasa sedih terhadap keadaan penduduk di beberapa wilayah Indonesia, khususnya Pontianak dan Riau, yang mengalami masalah pernafasan akibat jerebu.
Beliau berharap hujan dapat turun dalam masa terdekat bagi membantu memadamkan kebakaran sekali gus memulihkan kualiti udara di kawasan terjejas.
The post Indonesia dakwa bukan hanya hantar asap, turut bekalkan oksigen appeared first on The Reporter.



![‘Bukan Sekadar Hantar Asap, Kami Juga Kirim Oksigen Dari Hutan Kami’ – Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Republik Indonesia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Bukan-Sekadar-Hantar-Asap-Kami-Juga-Kirim-Oksigen-Dari-Hutan-Kami.jpg?t=1791712095)
![[VIDEO] Bakar hutan sumbang bekalan oksigen kepada Malaysia, Singapura](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/kebakaran-hutan-indonesia-2-1024x546.jpeg)

