Indonesia kesan 1,437 titik panas, punca jerebu rentas sempadan

WorldEnvironment
15 Sep 2026 • 2:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Indonesia kesan 1,437 titik panas, punca jerebu rentas sempadan

JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah masih berlaku di beberapa kawasan di Indonesia, khususnya Kalimantan dengan 1,437 titik panas dikesan di seluruh negara ketika jerebu rentas sempadan merebak ke negara jiran.

Pegawai Kementerian Perhutanan Indonesia, Lusiana Martapuri berkata, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 689 titik panas setakat malam Isnin, diikuti Kalimantan Barat sebanyak 203, Sumatera Selatan 116, Kalimantan Selatan 112 dan Jambi di Sumatera sembilan.

Beliau berkata, pemantauan terkini tidak mengesan sebarang titik panas di Riau, manakala operasi pemadaman kini tertumpu di Kalimantan, khususnya Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat.

“Secara umum, keadaan kualiti udara di Indonesia masih berbeza-beza, dengan kebanyakan kawasan berada pada kategori baik hingga sederhana, walaupun beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan masih mencatatkan bacaan tidak sihat hingga sangat tidak sihat, malah berbahaya di kawasan tertentu,” kata beliau dalam video yang dimuat naik di media sosial kementerian pada Selasa.

Di Malaysia, 38 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara pada paras tidak sihat setakat 9 pagi Selasa, manakala Pusat Meteorologi Khas ASEAN melaporkan jerebu rentas sempadan pada tahap sederhana di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Singapura turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat di kelima-lima wilayahnya, ketika kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan dikesan merebak ke arah negara itu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan.

Mengenai usaha pemadaman, Lusiana berkata 53 pesawat masih dikerahkan, termasuk 34 bagi operasi bom air dan 19 untuk rondaan udara, selain operasi pembenihan awan.

Operasi dari udara turut diperkukuh dengan tiga helikopter CH-47 Chinook dari Jepun bagi membantu kerja pemadaman, manakala pasukan darat meneruskan usaha memadam kebakaran, mencegah api daripada merebak, memadam sisa bara serta menyejukkan kawasan terjejas.- BERNAMA

The post Indonesia kesan 1,437 titik panas, punca jerebu rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved