
PUTRAJAYA- Malaysia sedia menggerakkan aset dan kepakaran negara bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan di Kalimantan yang kini menjadi punca kepada masalah jerebu rentas sempadan.
Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, senarai aset yang berpotensi digunakan telah disediakan dan disampaikan kepada negara jiran melalui saluran diplomatik.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Luar.
“Senarai aset yang mampu kita sediakan untuk membantu negara jiran telah disampaikan, namun sehingga kini belum ada pengesahan mengenai sebarang bentuk kerjasama atau kebenaran untuk mengguna pakai aset Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, tawaran bantuan tersebut telah disalurkan menerusi Wisma Putra dan kedutaan Malaysia, manakala Nadma telah bersedia untuk melaksanakan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan.
Mengulas isu dakwaan syarikat milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia terlibat dalam aktiviti menyebabkan jerebu rentas sempadan, Fahmi berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Nadma.
Katanya, isu berkenaan tidak dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Ketika ini, status udara di daerah Serian, Sarawak kekal membimbangkan apabila merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 212 awal hari ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara, sebanyak 28 kawasan di seluruh negara pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Malaysia sedia gerak aset, tunggu ‘lampu hijau’ Indonesia appeared first on Kosmo Online.






