Indonesia tingkat pengeluaran bioetanol berasaskan tebu

WorldEnvironment
7 Oct 2026 • 7:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Indonesia tingkat pengeluaran bioetanol berasaskan tebu

JAKARTA: Indonesia akan membuka ladang baharu untuk penanaman tebu yang digunakan dalam pengeluaran bioetanol, kata kerajaan, walaupun pada masa sama mengumumkan penghentian penerokaan hutan bagi meluaskan kawasan tanaman padi.

Kerajaan bulan lalu berkata, ia akan meningkatkan kandungan etanol yang digunakan untuk pengangkutan daripada lima kepada 20 peratus (E20), sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import produk petroleum yang semakin mahal.

Bagi mencapai sasaran itu, negara berkenaan memerlukan kira-kira empat juta kiloliter etanol setahun, menurut Kementerian Tenaga, iaitu beberapa kali ganda berbanding pengeluaran ketika ini.

“Ladang tebu baharu diperlukan. E20 boleh dihasilkan daripada tebu, ubi kayu dan sebagainya… Jika kita mahukan tebu, kita perlu membuka ladang baharu,” kata Menteri Makanan, Zulkifli Hasan, seperti dipetik agensi berita negara Antara.

Bulan lalu, Menteri Pertanian, Andi Amran Sulaiman berkata, kerajaan mahu membangunkan kira-kira satu juta hektar kawasan untuk pengeluaran tebu.

“Yang paling penting ialah tebu. Kita memerlukan satu juta hektar,” kata Andi.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha menukar guna tanah yang sudah terjejas sebelum meneroka kawasan berhutan, namun tidak menolak kemungkinan berbuat demikian.

Kenyataan Zulkifli itu dibuat pada hari yang sama utusan iklim, Hashim Djojohadikusumo berkata, Indonesia akan menghentikan program meneroka jutaan hektar tanah untuk pengeluaran padi selepas negara itu mencapai tahap sara diri bagi makanan ruji berkenaan.

Lebih 50,000 hektar hutan hujan, savana, paya gambut dan kawasan tanah lembap telah diteroka untuk penanaman tebu dan padi sejak 2024, menurut NGO Mighty Earth.

Indonesia merupakan antara negara yang mempunyai kawasan hutan terbesar di dunia dan menjadi penyerap utama pelepasan karbon yang memanaskan planet akibat pembakaran bahan api fosil oleh manusia.

Indonesia menyasarkan untuk menjadi penyerap karbon bersih menjelang 2030, dengan hutan dan penggunaan tanah lain menyerap lebih banyak karbon berbanding jumlah yang dilepaskan.

Bagaimanapun, pemerhati berkata, kemusnahan hutan yang berterusan untuk pertanian dan pembalakan, selain kebakaran hutan yang berleluasa, boleh menjejaskan rancangan Indonesia itu.

Negara berpenduduk hampir 290 juta itu sejak sekian lama mencampurkan minyak sawit untuk menghasilkan biodiesel dan kini berusaha meningkatkan kandungannya.

Indonesia merupakan antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, yang sebahagian besarnya dihasilkan di kawasan yang sebelum ini merupakan hutan.-AFP

The post Indonesia tingkat pengeluaran bioetanol berasaskan tebu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved