Indonesia turunkan had penolakan automatik saham kepada tujuh peratus

Business & Finance
19 Oct 2026 • 2:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Indonesia turunkan had penolakan automatik saham kepada tujuh peratus

PETALING JAYA: Bursa Saham Indonesia (IDX) menurunkan had penolakan automatik bagi penurunan harga saham kepada tujuh peratus berbanding 15 peratus sebelum ini, dalam usaha membendung ketidaktentuan pasaran.

Langkah itu bertujuan memastikan aktiviti perdagangan saham kekal teratur, adil dan cekap, selain mengawal turun naik pasaran yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

“Pelarasan ini juga bertujuan memberi peluang kepada pelabur untuk menilai dan memahami maklumat yang tersedia, sekali gus menyokong keputusan pelaburan yang lebih termaklum berdasarkan asas ekonomi Indonesia,” kata IDX dalam satu kenyataan.

Pada pembukaan dagangan Isnin, Indeks Komposit Jakarta (JCI), penanda aras pasaran saham negara itu, merosot 223.23 mata atau 4.31 peratus kepada 4,961.88 mata, jatuh di bawah paras  psikologi penting 5,000 mata.

Penurunan itu menyusuli aksi jualan besar-besaran pada Jumaat lalu apabila JCI menjunam lebih lapan peratus pada awal dagangan, sekali gus mencetuskan penggantungan perdagangan selama 30 minit sebelum ditutup 11.57 peratus lebih rendah pada 5,185.10 mata.

Ketidaktentuan pasaran itu berlaku susulan kebimbangan terhadap cadangan penyedia indeks global, MSCI, untuk mengklasifikasikan semula Indonesia daripada pasaran sedang pesat membangun kepada pasaran kendiri.

Cadangan itu dibuat berikutan isu berkaitan ketelusan pemilikan saham dan tadbir urus pasaran.

MSCI telah membuka rundingan dengan peserta pasaran sehingga 30 April 2027, dengan keputusan muktamad dijangka diumumkan menjelang akhir Jun 2027.

Perubahan ambang tidak simetri itu dilaksanakan dengan sokongan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia (OJK) dan mula berkuat kuasa pada Isnin.

Dasar berkenaan akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada semakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa pasaran.

Penurunan had penolakan automatik itu merupakan langkah kawal selia bagi mengehadkan kejatuhan harga saham dalam tempoh tertentu, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan dan kelancaran urus niaga di pasaran modal Indonesia. – UTUSAN

The post Indonesia turunkan had penolakan automatik saham kepada tujuh peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved