
KOTA BELUD: Persatuan Pengilang Beras Komersial Sabah (Padikom) menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap keadaan semakin mencabar yang dihadapi industri padi dan beras tempatan Sabah.
Pengerusinya Jaujip Pangalin berkata kebimbangan itu dibangkitkan oleh ahli persatuan dalam mesyuarat baru-baru ini yang dipengerusikannya bersama Setiausaha Padikom Fandhy Rajin.
Katanya, dua isu utama memberi tekanan besar kepada pesawah dan pengilang beras iaitu peningkatan kos diesel serta persaingan antara beras keluaran tempatan Sabah dengan Beras Putih Import (BPI) yang menerima subsidi.
SAWAH padi di Kota Belud yang suatu ketika dahulu berkembang pesat.“Dasar subsidi BPI bagi Sabah dan Sarawak perlu dikaji semula dari segi kesannya terhadap industri padi dan beras tempatan memandangkan kos pengeluaran beras tempatan sememangnya lebih tinggi disebabkan kos pengangkutan, pengeringan dan pengilangan,” katanya.
“Selepas mengambil kira kos pemprosesan termasuk pengangkutan, elektrik, tenaga kerja dan pembungkusan, kos beras tempatan di pintu kilang adalah kira-kira RM2,900 satu tan atau RM2.90 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata selepas mengambil kira margin keuntungan dan kos penyelenggaraan mesin, harga runcit beras tempatan adalah kira-kira RM3.20 hingga RM3.40 sekilogram manakala BPI yang menerima subsidi kerajaan dijual sekitar RM26 hingga RM28 bagi satu kampit.
Katanya, Padikom tidak menentang usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan beras pada harga berpatutan namun industri padi dan beras tempatan juga perlu dilindungi dan disokong.
Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme subsidi atau insentif bagi beras keluaran tempatan Sabah bagi merapatkan jurang harga dengan BPI bersubsidi.
“Sabah menghasilkan kira-kira 70,000 tan metrik beras tempatan pada 2024 berbanding kira-kira 271,000 tan metrik beras import menunjukkan Sabah masih sangat bergantung kepada bekalan beras dari luar.
“Kebergantungan berlebihan terhadap beras import boleh menimbulkan risiko kepada sekuriti makanan Sabah sekiranya berlaku gangguan bekalan, krisis global atau kenaikan mendadak harga beras di pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau mengambil pandemik Covid-19 sebagai contoh apabila permintaan terhadap beras tempatan meningkat dengan mendadak dan sesetengah pengilang berdepan kekurangan stok.
Jaujip berkata diesel merupakan antara komponen kos utama dalam industri padi kerana kebanyakan operasi berjentera seperti penggunaan traktor, mesin penuai, forklift dan lori pengangkutan bergantung kepada bahan api itu.
“Kenaikan harga diesel meningkatkan kos operasi penyedia perkhidmatan pertanian yang kemudiannya ditanggung pesawah melalui caj perkhidmatan lebih tinggi dengan caj membajak mencecah kira-kira RM450 seekar dan caj menuai sekitar RM350 seekar,” katanya.
“Pesawah juga perlu menanggung kos benih, baja, racun perosak dan input pertanian lain. Apabila kos penanaman meningkat tanpa peningkatan sepadan dalam hasil dan pendapatan, penanaman padi menjadi semakin kurang berdaya maju.
“Impaknya akhirnya turut dirasai pengilang beras apabila jumlah padi yang tersedia untuk diproses berkurangan,” katanya sambil berharap penyedia perkhidmatan pertanian berdaftar diberikan akses kepada diesel bersubsidi atau mekanisme bantuan diesel khusus untuk sektor padi.
Beliau berkata jumlah kilang beras di Sabah merosot daripada hampir 40 buah sekitar 1986 kepada kira-kira 17 pada masa ini manakala di Kota Belud sahaja jumlah kilang beras berkurangan daripada kira-kira 16 kepada sekitar tujuh yang masih beroperasi.
“Pengeluaran beras tempatan Sabah berada pada kira-kira 25 peratus pada 2016 dan menurun kepada sekitar 19 peratus pada 2024,” katanya.
Beliau berkata sasaran Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tahap sara diri beras kepada 30 peratus menjelang 2030 akan menjadi lebih sukar dicapai sekiranya trend berkenaan berterusan.
Katanya, ahli Padikom turut berperanan sebagai penyedia perkhidmatan pertanian kepada pesawah dengan membantu dalam penyediaan tanah, membajak, mendapatkan input pertanian, menuai, mengangkut hasil serta memproses padi menjadi beras, selain dalam banyak keadaan menyediakan bantuan kewangan kepada pesawah sebelum musim menuai.
“Jika pengilang beras tidak mampu meneruskan operasi, pesawah dan keseluruhan rantaian nilai industri padi dan beras Sabah juga akan terjejas,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan melihat industri padi dan beras Sabah secara menyeluruh daripada pesawah dan penyedia perkhidmatan pertanian hingga kepada pengilang beras serta pemasaran beras tempatan.
Beliau mencadangkan empat perkara diberi perhatian, iaitu subsidi atau insentif bagi beras keluaran tempatan Sabah, mekanisme diesel bersubsidi untuk penyedia perkhidmatan pertanian, pengurangan jurang harga antara beras tempatan dengan BPI bersubsidi serta pasaran yang terjamin dan mampan untuk beras tempatan.
Katanya, Padikom menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri beras Sabah kepada 30 peratus menjelang 2030 namun sasaran itu perlu disertai dasar yang memastikan semua pihak dalam rantaian nilai industri kekal berdaya maju.
“Tidak memadai meningkatkan pengeluaran padi jika jumlah kilang beras terus berkurangan, dan tidak memadai mempunyai kilang beras jika beras keluaran tempatan tidak mampu bersaing di pasaran.
“Padikom percaya industri ini masih boleh diselamatkan sekiranya semua pihak bekerjasama,” katanya sambil menambah persatuan itu bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian demi kepentingan pesawah, pengilang beras dan sekuriti makanan Sabah.






