
Kota Kinabalu: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan Kerajaan Persekutuan, termasuk siapa yang menjadi Perdana Menteri, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana kewujudan Persekutuan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada kedua-dua wilayah itu.
“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih luas. Persekutuan, atau negara Malaysia, tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Itulah sebabnya Sabah dan Sarawak mesti menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan mesti terlibat dalam pentadbiran negara ini. Kita boleh menjadi ‘kingmaker’ dalam menentukan sama ada Persekutuan ini harus diteruskan,” katanya.
Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III, berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan Upko Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata peranan kedua-dua wilayah itu tidak seharusnya dipandang ringan.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak terletak pada penentuan sama ada Persekutuan Malaysia harus diteruskan atau tidak. Oleh itu, jangan pandang ringan peranan Sabah dan Sarawak dalam menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri dan siapa yang membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Ewon berkata Upko sedang membuat persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk memperkukuh struktur parti dan menggalakkan anggota yang berhasrat bertanding supaya mempergiat usaha di peringkat akar umbi.
Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata Upko akan berunding dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.
“Upko akan menyampaikan pandangan dan pendirian bahawa sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen sedia ada parti, iaitu Tuaran dan Penampang, perlu diberi peluang kepada Upko untuk bertanding.
“Bagi kerusi selebihnya, saya lebih suka berunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta rakan-rakan dalam GRS.





