Infinix Smart 20 telah rasmi dilancarkan di Malaysia hari ini sebagai pilihan mampu milik dengan harga di bawah RM500. Ia ditawarkan untuk mereka yang mahu meningkatkan pengalaman harian melalui sebuah peranti dengan ketahanan yang memadai serta sambungan yang lancar.

Infinix Smart 20 hadir dengan skrin IPS HD+ bersaiz 6.78 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia dikuasakan cip MediaTek Helio G81 Ultimate bersama pilihan memori 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Bateri berkapasiti 5200mAh digunakan dengan sokongan pengecasan 15W, sementara itu kamera utama 8MP mampu merakam sehingga resolusi 1440P.

Ciri tambahan lain termasuk teknologi pengecaman suara pintar yang meminimumkan bunyi latar, Pure Voice Calls dengan sistem pengurangan hingar berasaskan voiceprint, serta UltraLink Free Offline Contact yang membolehkan komunikasi peranti-ke-peranti melalui Bluetooth tanpa bergantung pada isyarat rangkaian. Peranti ini juga dilengkapi dengan NFC, kalis air IP64, dan pengimbas cap jari di sisi.

Bagi yang berminat, Infinix Smart 20 dijual di Malaysia pada harga bermula RM399 untuk versi 4GB RAM + 64GB storan dan RM449 untuk versi 4GB RAM + 128GB storan. Jualan sudah bermula sekarang dengan pilihan warna menarik seperti Sunlike Orange, Cloudline Blue, Polaris Titanium dan Shadow Black.


