liza31/12/2025 - 16:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Dis -- Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat sedikit kepada 1.4% pada November 2025 berbanding 1.3% pada Oktober 2025 manakala inflasi teras kekal tidak berubah pada 2.2%, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata peningkatan dalam inflasi keseluruhan sebahagiannya didorong oleh harga rokok yang lebih tinggi berikutan kenaikan duti eksais dan harga makanan di rumah, khususnya daging dan ikan segar.
"Inflasi teras kekal stabil, mencerminkan tekanan harga asas yang berterusan.
"Inflasi yang lebih tinggi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih dan kenderaan bermotor diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi barangan kemas dan jam tangan serta perkhidmatan audio visual," kata BNM dalam kenyataan Sorotan Bulanan November 2025 hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, bank pusat itu berkata indeks pengeluaran industri perkilangan pula mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu 6.5% pada Oktober 2025 berbanding 5% pada bulan sebelumnya.
"Kelompok berorientasikan eksport terus mengukuh kepada 7.2% berbanding September 2025 iaitu 4.8% didorong terutamanya oleh elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan.
"Kelompok berorientasikan dalam negeri menurun kepada 4.9% (September 2025: 5.3%), disokong oleh pertumbuhan yang mantap dalam makanan dan minuman serta farmaseutikal, seterusnya mengimbangi penguncupan dalam pengeluaran kenderaan bermotor," kata BNM.
Dalam pada itu, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan secara amnya adalah berterusan.
BNM berkata kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.5% pada bulan November 2025 berbanding 5.7% pada Oktober 2025 disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang stabil iaitu 5.5% berbanding Oktober 2025 (5.6%) manakala pertumbuhan dalam bon korporat terkumpul menurun sedikit kepada 5.5% berbanding 5.8% pada Oktober 2025.
"Pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana kepada 5% (Oktober 2025: 5.5%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan dalam kalangan PKS.
"Pertumbuhan pinjaman dalam kalangan bukan PKS meningkat, khususnya bagi tujuan berkaitan pelaburan manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.7% (Oktober 2025: 5.7%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan merentas kebanyakan tujuan," kata bank pusat itu.
Selain itu, BNM berkata sistem perbankan terus mencatatkan penampan aset mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 145.6% (Oktober 2025: 147.5%).
"Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar kekal stabil pada 1.4%.
"Nisbah pinjaman terjejas bersih pula mencatatkan sedikit peningkatan kepada
1% (Oktober 2025: 0.9%) berikutan peruntukan yang dicatatkan pada bulan tersebut adalah lebih rendah," kata BNM.
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 124.6% daripada pinjaman terjejas kasar (Oktober 2025: 126.5%).
Bank pusat itu berkata pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh jangkaan yang berubah-ubah terhadap hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS)
"Keadaan kewangan global dipengaruhi oleh jangkaan pasaran yang berubah-ubah sepanjang bulan terhadap pelonggaran dasar monetari selanjutnya oleh Federal Reserve AS.
"Berlatarkan persekitaran ini, ringgit menambah nilai sebanyak 1.5% berbanding dolar AS pada bulan November (NEER: 1.7%; purata serantau: -0.3%), didorong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik.
"Aliran masuk ini berlaku seiring dengan penurunan kadar hasil MGS 10 tahun sebanyak 2 mata asas (purata serantau: +13.6 mata asas).
"Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 0.3% (purata serantau4: -0.1%) berikutan aliran keluar ekuiti asing bersih, manakala prestasi pasaran ekuiti serantau bercampur-campur," kata BNM. - DagangNews.com


