hamden23/09/2026 - 10:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept - Inflasi makanan berpotensi kembali meningkat dalam tempoh terdekat susulan tekanan luaran dan bekalan, termasuk peningkatan kos input pertanian khususnya harga baja serta keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran domestik.
MBSB Research berkata, tekanan berkenaan dijangka memberi kesan kepada harga makanan runcit, terutama hasil segar dan barangan makanan keperluan yang bekalannya lebih sensitif terhadap keadaan cuaca serta keadaan pengeluaran.
Tegas firma itu lagi, walaupun inflasi keseluruhan kekal terkawal, pengukuhan sekuriti makanan penting bagi meningkatkan daya tahan sektor makanan domestik dalam menghadapi perkembangan luaran yang tidak menentu.
Ini kerana makanan merangkumi hampir satu pertiga daripada bakul penggunaan rakyat Malaysia, sekali gus memainkan peranan penting dalam menentukan inflasi keseluruhan dan tekanan kos sara hidup isi rumah.
“Impaknya amat ketara bagi isi rumah berpendapatan rendah yang lazimnya memperuntukkan bahagian perbelanjaan lebih besar kepada makanan dan keperluan asas lain,” katanya dalam analisis khusus berkaitan Sekuriti Makanan Malaysia hari ini.
Sekuriti makanan risiko utama 2027
MBSB Research berkata kesan serta-merta konflik Amerika Syarikat-Iran terhadap bekalan makanan Malaysia dijangka masih boleh diurus, namun risiko lebih besar terletak pada kesan tertangguh melalui kitaran pengeluaran pertanian.
Gangguan berpanjangan terhadap tenaga dan laluan perkapalan di Timur Tengah boleh meningkatkan kos minyak mentah, gas asli, pengangkutan serta insurans.

Tekanan ini pada peringkat awal akan tercermin dalam harga baja, makanan ternakan, pembungkusan, elektrik dan pengangkutan sebelum akhirnya memberi kesan kepada hasil pertanian serta harga makanan runcit.
Memandangkan petani membuat keputusan berkaitan penanaman dan pengeluaran beberapa bulan lebih awal, kesan penuh gangguan tersebut mungkin hanya dapat dilihat melalui hasil yang lebih rendah, bekalan yang semakin ketat dan kenaikan harga makanan pada 2027, walaupun konflik geopolitik itu kembali reda selepas itu.
Harga gas asli dan tenaga yang lebih tinggi akan meningkatkan kos pengeluaran baja berasaskan nitrogen, manakala gangguan perdagangan maritim turut boleh menjejaskan ketersediaan dan penghantaran input baja.
Petani yang berdepan kos lebih tinggi atau bekalan yang tidak menentu mungkin mengurangkan penggunaan baja, menangguhkan penanaman atau beralih kepada tanaman yang kurang memerlukan input.
Penyesuaian itu mungkin membantu mengekalkan aliran tunai dalam jangka pendek, namun berpotensi menjejaskan hasil pada musim tuaian berikutnya.
Justeru, risiko terhadap sekuriti makanan tidak semestinya muncul dalam bentuk kekurangan bekalan serta-merta, sebaliknya melalui kemerosotan produktiviti pertanian secara beransur-ansur dan penyusutan bekalan pada musim penanaman berikutnya.
MBSB Research berkata, kenaikan berterusan kos makanan, bahan api dan utiliti juga berpotensi mengurangkan pendapatan boleh guna serta perbelanjaan mengikut budi bicara isi rumah.
Sehubungan itu, dasar yang mengukuhkan bekalan makanan, meningkatkan kemampuan rakyat dan mengurangkan turun naik berlebihan dalam kos keperluan asas dilihat penting bagi menyokong kesejahteraan rakyat.

Sekuriti makanan kekal fokus Belanjawan 2027
MBSB Research menjangkakan sekuriti makanan dijangka kekal antara bidang tumpuan utama kerajaan dalam Belanjawan 2027, selaras dengan agenda lebih luas di bawah Dasar Keselamatan Makanan Negara 2030 (DKMN2030).
Langkah berkenaan mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh daya tahan makanan Malaysia dalam jangka panjang, selain meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Antara tumpuan dasar dijangka merangkumi peningkatan pengeluaran makanan domestik dan pengukuhan rantaian bekalan, selain meningkatkan pendapatan isi rumah, menyokong petani serta pengeluar agro-makanan dan memperbaiki kemampuan serta akses kepada barangan makanan keperluan.
Pengeluaran tempatan perlu diperkukuh
Usaha memperkukuh pengeluaran makanan domestik boleh merangkumi subsidi dan sokongan kewangan kepada petani, penternak serta nelayan, di samping penggunaan mekanisasi, automasi dan teknologi pertanian yang lebih meluas bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan.
Penekanan lebih besar juga boleh diberikan kepada pertanian berdaya tahan iklim melalui penambahbaikan sistem pengairan, penggunaan varieti tanaman yang lebih tahan lasak serta langkah mitigasi banjir.
Pada masa sama, peningkatan tahap sara diri dan kepelbagaian sumber bekalan boleh mengurangkan pendedahan Malaysia kepada gangguan import serta turun naik harga makanan global.
Rantaian bekalan makanan domestik juga boleh diperkukuh melalui penambahbaikan kemudahan gudang, rantaian sejuk dan infrastruktur penyimpanan.
Langkah itu dijangka membantu mengurangkan kerugian selepas tuaian, memanjangkan jangka hayat makanan serta menyokong pengagihan bekalan yang lebih stabil di seluruh negara. - DagangNews.com





