hamden23/09/2026 - 11:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept - SD Guthrie Bhd dijangka mengiktiraf keuntungan kira-kira RM245 juta daripada urus niaga penjualan dua lot tanah perindustrian seluas 222 ekar di Port Dickson, Negeri Sembilan kepada pengendali pusat data berpangkalan di Singapura, Tera Data Centers, menurut Public Investment Bank Research (PublicInvest)
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan itu termasuk cukai keuntungan harta tanah (RPGT) sebanyak 10%, susulan penjualan tanah berkenaan pada harga RM1 bilion atau RM105 sekaki persegi menerusi Eco Business Park 7 S/B (EBP 7).
EBP 7 merupakan syarikat tujuan khas yang dimiliki Eco World Development Bhd sebanyak 55%, SD Guthrie (30%) dan agensi kerajaan negeri, NS Corporation (15%).
Menurut PublicInvest, tempoh penyelesaian urus niaga itu belum ditetapkan, namun dijangka selesai pada 2027.
“Ini juga merupakan keuntungan kali kedua daripada plot tanah yang sama bagi SD Guthrie selepas syarikat melupuskan keseluruhan bank tanah seluas 1,195 ekar kepada EBP 7 pada September 2025 dengan nilai tunai keseluruhan RM572.7 juta,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tanah perindustrian berkenaan merupakan sebahagian daripada 1,195 ekar tanah yang diperoleh EBP 7 daripada SD Guthrie pada September 2025 pada harga RM572.7 juta atau RM11 sekaki persegi.
Sejak projek itu dilancarkan pada November 2025, EBP 7 telah merekodkan jualan melebihi RM800 juta daripada lot perindustrian dan kilang siap bina di bawah Fasa 1.
Berdasarkan pengiraan perakaunan ekuiti, PublicInvest menjangkakan SD Guthrie mengiktiraf keuntungan sebanyak RM245 juta daripada urus niaga tersebut.
Sementara menunggu penyelesaian transaksi itu, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan SD Guthrie.
Firma tersebut mengekalkan saranan Outperform terhadap saham SD Guthrie dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM7.81, berdasarkan penilaian 20 kali pendapatan sesaham (EPS) FY2027.
Permintaan pusat data pemangkin kawasan
Dalam pada itu, penjualan tanah bernilai RM1 bilion tersebut dilihat mencerminkan permintaan kukuh terhadap tanah perindustrian dalam pelan induk Malaysia Vision Valley 2.0 di Negeri Sembilan.
Menurut PublicInvest, permintaan daripada sektor pusat data berpotensi menjadi pemangkin tambahan kepada penjanaan semula nilai tanah pada masa hadapan.
Perkembangan itu turut mengukuhkan pengembangan ekosistem pusat data Malaysia di luar hab tradisional seperti Johor dan Kuala Lumpur, dengan Negeri Sembilan muncul sebagai satu lagi lokasi berpotensi untuk pengendali pusat data hiperskala.
Tera Data Centers merupakan pemain pusat data kedua yang bertapak di Negeri Sembilan selepas Google yang berpangkalan di Amerika Syarikat. - DagangNews.com






