hamden23/09/2026 - 09:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept - Kesan kos sekali sahaja yang ditanggung Tenaga Nasional Bhd (TNB) susulan peluasan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik berkemungkinan lebih rendah daripada anggaran awal 2% hingga 3% terhadap pendapatan FY2026, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, peruntukan RM150 juta yang disediakan TNB adalah berdasarkan andaian senario “tinggi” bagi harga bahan api dan kadar pertukaran asing pada suku keempat 2026.
Andaian itu merangkumi harga arang batu sebanyak AS$138 setan berbanding AS$123 ketika ini, manakala harga gas diandaikan pada RM74/mmBtu berbanding RM31 bagi Tier 1 dan RM57 bagi Tier 2 ketika ini.
Ia turut mengambil kira andaian kadar pertukaran AS$1 kepada RM4.20, berbanding RM4.09 ketika ini.
“Suruhanjaya Tenaga menjangkakan harga arang batu dan gas kekal stabil bagi baki tahun ini. Justeru, kami percaya terdapat kemungkinan kesan kos sekali sahaja itu lebih rendah daripada anggaran awal sebanyak 2% hingga 3% terhadap pendapatan FY2026,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research turut menjangkakan TNB mengekalkan aliran tunai bebas (FCF) positif selepas mengambil kira pelarasan kos bahan api RM150 juta, sekali gus menyokong anggaran hasil dividen sekitar 4%.
TNB berkata pelarasan kos bahan api tambahan antara RM120 juta hingga RM150 juta itu adalah langkah sekali sahaja dan tidak menjejaskan pulangan yang diluluskan ke atas asas aset terkawal.
Peruntukan tersebut bertujuan menampung pelarasan bahan api automatik (AFA) bulanan, caj runcit serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi kira-kira 1 juta pengguna domestik yang menggunakan antara 600 hingga 800kWj elektrik sebulan.
Langkah itu susulan keputusan meningkatkan paras perlindungan bil elektrik daripada 600kWj kepada 800kWj bagi tempoh September hingga Disember 2026, yang menghasilkan pengurangan purata bil bulanan sebanyak RM40.
Pihak pengurusan mengesahkan langkah berkenaan bersifat sekali sahaja, dengan paras perlindungan kembali kepada 600kWj mulai Januari 2027.
Prestasi separuh kedua 2026 lebih kukuh
Dalam pada itu, RHB Research menjangkakan TNB mencatatkan prestasi pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan, disokong jangkaan kadar cukai efektif (ETR) menurun kepada 18% pada suku keempat.
Menurutnya, penurunan ETR itu dijangka mengimbangi lebih daripada kesan peruntukan subsidi elektrik.
Sehubungan itu RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap TNB dengan harga sasaran RM16.50, yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 26%, selain anggaran hasil dividen sekitar 4%.
Tiada perubahan dibuat terhadap anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY2026-FY2027.
Harga sasaran itu, termasuk diskaun ESG sebanyak 4%, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2026 sebanyak 19 kali atau +1 sisihan piawai berbanding purata tiga tahun saham berkenaan.
Firma penyelidikan itu berkata premium penilaian itu disokong kedudukan TNB sebagai penerima manfaat utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), manakala rangka kerja kawal selia menyediakan asas pendapatan yang stabil.
Risiko penurunan utama termasuk kelewatan kelulusan perbelanjaan modal (capex), peluasan subsidi selanjutnya dan peningkatan kadar cukai efektif. - DagangNews.com




