johardy14/08/2026 - 12:45 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.9% pada suku kedua 2026 daripada 1.6% pada suku pertama, berikutan tekanan kos luaran yang lebih tinggi serta kenaikan harga bahan api.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, peningkatan itu terutamanya berkaitan dengan kesan ekonomi akibat konflik di Timur Tengah.
Harga bahan api, khususnya RON97 dan diesel, meningkat sepanjang suku berkenaan, menyebabkan inflasi bahan api melonjak kepada 5% berbanding penyusutan 1.5% pada suku pertama.
Walaupun inflasi keseluruhan meningkat, tekanan harga asas menunjukkan penyederhanaan.
Inflasi teras menyederhana kepada 1.9% daripada 2.1% pada suku pertama, mencerminkan kenaikan harga yang lebih perlahan bagi beberapa komponen termasuk barang kemas dan jam tangan serta sewa.
Inflasi bagi barang kemas dan jam tangan menyederhana kepada 23.7% daripada 39.1% sebelumnya, manakala inflasi sewa turun kepada 1.4% daripada 1.6%.
Tekanan kos pengeluar meningkat
Tekanan kos pengeluar turut meningkat sepanjang suku kedua, namun BNM berkata, tekanan itu masih tertumpu pada peringkat huluan dengan kesan pindahan yang terhad kepada peringkat pengeluaran seterusnya dan harga pengguna secara keseluruhan.
Skop kenaikan harga turut menjadi lebih meluas sepanjang suku berkenaan.
Bahagian barangan dan perkhidmatan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan meningkat kepada 45.5% daripada 38.3% pada suku pertama, hampir sejajar dengan purata sejarah sebanyak 45.6%.
Peningkatan itu terutamanya didorong oleh lonjakan ketara pada April sebelum menyederhana pada Mei dan Jun.
BNM menjangkakan inflasi kekal sederhana pada 2026, dengan inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5% hingga 2.5%.
Tekanan kos luaran akibat konflik di Timur Tengah boleh memberi sedikit tekanan menaik terhadap harga, namun bank pusat itu menjangkakan kesan keseluruhannya kekal terkawal.
Subsidi bersasar bantu kekang tekanan harga
Subsidi bahan api bersasar dan permintaan domestik yang stabil dijangka mengehadkan kesan pindahan daripada peningkatan kos global kepada pengguna.
Sehubungan itu, prospek inflasi kekal secara relatif terkawal, meskipun harga tenaga global dan perkembangan geopolitik akan terus menjadi antara risiko utama kepada ekonomi Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.
- DagangNews.com






