johardy14/08/2026 - 17:37 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.1% daripada 4.5% sebelum ini, selepas mengambil kira prestasi ekonomi yang kukuh pada separuh pertama tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan itu sebahagian besarnya didorong peningkatan perdagangan luar susulan permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta petroleum. Ekonomi Malaysia berkembang 5.2% pada 2025.
KDNK Malaysia berkembang 6% tahun ke tahun pada suku kedua 2026 berbanding 5.4% pada suku pertama, sekali gus mengatasi anggaran awal 5.8%.
MBSB Research menjangkakan permintaan domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, disokong peningkatan aktiviti pelancongan, pendapatan lebih tinggi dan inflasi yang secara umumnya kekal terkawal.
Permintaan domestik berkembang 5.2% pada suku kedua dan menyumbang 3.7 mata peratusan atau kira-kira 61% kepada pertumbuhan KDNK, dengan penggunaan swasta kekal penyumbang terbesar.
Pelancongan, bantuan kerajaan sokong permintaan
Menurut MBSB Research, pemulihan berterusan sektor pelancongan menerusi peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka memberi sokongan kukuh kepada sektor perkhidmatan dan runcit.
Firma itu turut melihat kemungkinan peningkatan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam belanjawan akan datang sebagai faktor yang boleh mengukuhkan lagi permintaan domestik.
Penganjuran acara seperti Formula Satu (F1) juga dijangka menarik lebih ramai pelancong asing dan merancakkan aktiviti ekonomi pada separuh kedua tahun ini.
Pada masa sama, perdagangan luar memberi sumbangan lebih besar apabila eksport bersih menyumbang 2.4 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK pada suku kedua berbanding 0.6 mata peratusan pada suku pertama.
Eksport benar melonjak 17% tahun ke tahun, didorong penghantaran kukuh barangan pembuatan terutama produk E&E dan petroleum, manakala import benar meningkat 13.9%.
MBSB Research menjangkakan permintaan luar yang berterusan akan membolehkan eksport bersih kekal menyumbang secara positif kepada pertumbuhan, walaupun peningkatan import boleh mengehadkan sumbangan tersebut.
Momentum dijangka perlahan separuh kedua
Walaupun menaikkan unjuran pertumbuhan 2026, firma itu menjangkakan momentum ekonomi menjadi lebih perlahan pada separuh kedua apabila kesan asas semakin berkurangan, selain tekanan akibat gangguan bekalan dan peningkatan kos.
MBSB Research turut memberi perhatian kepada risiko inflasi berkaitan krisis tenaga yang berpotensi mengekang momentum pertumbuhan, meskipun permintaan domestik kekal berdaya tahan.
Antara risiko utama lain ialah peningkatan ketegangan geopolitik, gangguan perdagangan dan rantaian bekalan yang berpanjangan, peraturan perdagangan lebih ketat serta kemungkinan permintaan akhir global melemah. Ancaman tarif khusus terhadap sektor semikonduktor turut dilihat sebagai risiko kepada eksport negara.
Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan daya tahan permintaan domestik dan pemulihan sektor pelancongan akan menjadi penampan penting kepada ekonomi Malaysia dalam menghadapi kelembapan perdagangan global dan ketidaktentuan geopolitik. - DagangNews.com






