
BANDAR PANAMA – Seorang pempengaruh media sosial menerima kecaman orang ramai kerana memuat naik gambar memaparkan bentuk badannya di kawasan runtuhan bangunan selepas gempa bumi menggegarkan Panama minggu lalu, lapor akhbar The Sun UK.
Gracie Bon yang juga model bersaiz besar, didakwa menggunakan lokasi kemusnahan akibat gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 itu sebagai lokasi penggambaran untuk paparan di platform Instagram.
Imej tersebut memaparkan Bon memakai baju putih ketat dipadankan dengan seluar jeans. Dia duduk mencangkung berhampiran kediaman yang runtuh serta serpihan.
Pengguna media sosial mengecam Bon kerana mengambil kesempatan daripada bencana negara demi meraih tontonan dan tanda suka.
“Saya tidak percaya dia tergamak meminta tolong seseorang untuk mengambil gambarnya di hadapan rumah orang lain yang musnah,” kata seorang netizen.
Hampir 900 kediaman musnah selepas gempa bumi dahsyat itu menggegarkan selatan Panama dan mencetuskan amaran tsunami serantau.
Bon tampil menjelaskan bahawa dia membawa air minuman kepada mangsa di samping menyalurkan dana bagi membantu proses pembinaan semula.
“Anda boleh membuat kebaikan tanpa perlu berkongsi di media sosial semata-mata untuk meraih perhatian,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI
The post ‘Influencer’ dikecam bergambar seksi di lokasi gempa bumi appeared first on Kosmo Online.





