johardy01/10/2026 - 09:30 Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt - Infomina Berhad memperoleh hak untuk mengedar dan menyediakan sokongan bagi perisian kerangka utama Broadcom di Australia, New Zealand, Korea Selatan dan India, sekali gus memperluas liputannya kepada 12 pasaran Asia Pasifik.
Penyedia rumusan teknologi itu dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut menambah empat negara berkenaan kepada lapan pasaran sedia ada, iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura, Taiwan, Hong Kong, China dan Jepun.
Infomina diberi kuasa untuk mengedarkan portfolio perisian kerangka utama Broadcom serta menyediakan sokongan dan perkhidmatan berkaitan.
Portfolio itu merangkumi kecerdasan buatan (AI), pengurusan data, pembangunan aplikasi, infrastruktur, automasi dan keselamatan siber bagi perusahaan yang bergantung pada sistem kerangka utama untuk operasi kritikal.
Kumpulan itu turut menubuhkan anak syarikat milik penuh, Infomina PTY LTD, di Australia bagi menyokong pengembangan serantaunya.
Anak syarikat tersebut akan menyediakan perkakasan teknologi, perisian, khidmat perundingan, sokongan dan perkhidmatan berkaitan, sekali gus menjadi platform langsung bagi Infomina membangunkan hubungan dengan pelanggan dan rakan niaga di Australia serta New Zealand.
Perluas kehadiran serantau
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng berkata, penambahan pasaran tersebut akan memperluas pangkalan pelanggan berpotensi kumpulan serta memperkukuh keupayaannya menyokong pelanggan yang menggunakan pelbagai sistem teknologi perusahaan.
“Kami akan terus melabur dalam tenaga kerja, keupayaan dan perkongsian sambil memperluas portfolio teknologi perusahaan serta memperkukuh kehadiran serantau kami,” katanya.
Pelantikan itu meneruskan hubungan sedia ada antara Infomina dengan Broadcom. Kumpulan tersebut dinobatkan sebagai Broadcom Software Mainframe Partner of the Year selama lima tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2025.
Infomina mencatatkan hasil sebanyak RM275.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY2026), meningkat 40.3% berbanding tahun sebelumnya. Keuntungan selepas cukai pula meningkat 56.4% kepada RM33 juta.
Nilai buku tempahan kumpulan berjumlah RM565 juta pada akhir FY2026. - DagangNews.com




