
JAKARTA – Taktik licik sekumpulan lelaki yang menyamar melakukan kerja penyelenggaraan terbongkar apabila seramai 37 individu dicekup polis kerana disyaki mencuri kabel bawah tanah di sekitar bandar Samarinda, wilayah Kalimantan Timur, lapor saluran berita Detik News.
Jumlah tangkapan dijangka meningkat susulan siasatan lanjut pihak berkuasa terhadap kegiatan haram itu yang dikesan dilakukan di beberapa laluan utama hingga menimbulkan keresahan penduduk.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Sungai Pinang, Inspektor Satu Dedi Lantang berkata, kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan khas selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bertulis ketika disoal siasat di lokasi kejadian.
“Mereka mendakwa kononnya mempunyai permit kerja, namun langsung tidak dapat membuktikannya.
“Disebabkan perbuatan mereka turut meresahkan orang ramai, kesemua mereka terus ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya kelmarin.
Kes itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Samarinda bagi membongkar peranan setiap suspek serta mengenal pasti dalang utama sindiket itu.
Pegawai polis lain, Inspektor Dua Fardhan Wijaya mengesahkan kesemua suspek sedang disoal siasat secara intensif di ibu pejabat polis.
“Besar kemungkinan jumlah tangkapan akan bertambah memandangkan siasatan mendalam masih giat dijalankan,” ujarnya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas puluhan meter kabel yang telah digali, dua buah lori, sebuah pacuan empat roda serta pelbagai kelengkapan menggali dan menarik kabel untuk dijadikan bahan bukti. – AGENSI
The post Ingatkan baiki jalan, 37 lelaki dicekup curi kabel appeared first on Kosmo Online.



