
PETALING JAYA – Prihatin terhadap anak yang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), pelakon Rita Rudaini mengambil inisiatif menempah hidangan bagi memastikan puteranya mendapat nutrisi mencukupi.
Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 50, berkata, usaha itu dilakukan menggunakan wang sendiri, selain merancang menu harian dengan kerjasama pihak kafe bagi menyediakan makanan mengikut pilihannya.
“Sepanjang anak saya menduduki peperiksaan percubaan SPM MRSM, saya sendiri mengambil inisiatif menjaga pemakanannya.
“Saya keluarkan duit sendiri, rancang menu sendiri dan minta kerjasama kafe untuk bantu menyediakan hidangan yang saya pilih.
“Sejujurnya, saya memang suka melakukannya. Bagi saya, waktu peperiksaan bukan hanya mengenai pembelajaran. Pemakanan sihat dan cukup nutrisi juga sangat penting untuk tenaga, tumpuan dan minda, terutama ketika anak berjuang menghadapi peperiksaan,” katanya dalam hantaran di Threads.
Menurut ibu kepada dua anak itu, penyediaan makanan berkhasiat merupakan antara caranya memberi sokongan kepada anak dari rumah, selain memastikan keperluan pemakanan terjaga sepanjang menempuh peperiksaan.
Menyedari tindakan dibuat bakal mengundang polemik, katanya, semua perbelanjaan berkaitan penyediaan menu tersebut menggunakan wangnya sendiri tanpa tidak melibatkan sumbangan mahupun dana daripada pihak lain.
“Semua ini atas usaha dan duit saya sendiri. Bukan duit persatuan. Duit saya, rezeki saya, suka hati saya hendak pesan apa untuk anak saya.
“Tak perlu dengki dengan rezeki atau hidangan orang lain. Kalau teringin, pesan dan bayar saja. Tak perlu buat perkara mudah menjadi susah,” ujarnya.
Rita turut menyifatkan perkara dilakukannya itu sebagai naluri seorang ibu yang hanya mahu memberikan terbaik buat permata hati khususnya ketika mereka melalui tempoh penting dalam pendidikan.
“Ini cuma usaha seorang ibu yang melakukan yang terbaik untuk anaknya,” katanya.
Perkongsian pelakon drama Jiwa Seorang Pentaksub itu meraih pelbagai komen ibu bapa terutama yang mempunyai anak di asrama.
“Terima kasih banyak kerana berkongsi menu. Betul, ketika anak-anak saya menduduki peperiksaan, saya memang menjaga pemakanan mereka supaya lebih fokus. Namun, menu saya ringkas sahaja,” tulis seorang netizen. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ini atas usaha saya, duit sendiri bukan persatuan’ appeared first on Kosmo Digital.





