'Ini bukan ruang politik, tetapi sokongan mempertahankan institusi raja-raja Melayu'

LocalPolitics
13 May 2026 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ini bukan ruang politik, tetapi sokongan mempertahankan institusi raja-raja Melayu'
Mohd Zai (tengah) semasa sidang media di sini pada Rabu.

SHAH ALAM - Himpunan Daulat Tuanku yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini merentasi parti politik dan kaum bagi menjunjung taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mewakili Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku dan Gabungan NGO Selangor, Mohd Zai Mustafa berkata, kira-kira 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) utama mewakili lebih 300 NGO seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan sudah menyatakan komitmen untuk menyertai himpunan itu.

Menurutnya, perhimpunan bermula jam 5 petang itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, bangsa atau latar belakang.

"Himpunan ini rentas parti dan rentas kaum kerana ini soal solidariti rakyat untuk menjunjung taat setia kepada titah Sultan Selangor.

"Kita seru semua pihak termasuk pertubuhan masyarakat, pemimpin komuniti dan rakyat Selangor turun pada 16 Mei ini bagi menunjukkan rakyat bersama baginda," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Mohd Zai berkata, Sultan Selangor sebelum ini menegaskan pendirian baginda berkaitan isu penternakan babi di negeri itu demi kepentingan rakyat.

Katanya, rakyat wajar menghargai keprihatinan baginda yang mahu isu itu diselesaikan termasuk mencadangkan Selangor mencapai status sifar penternak babi.

Beliau berkata, peserta digalakkan memakai pakaian berwarna kuning sebagai tema himpunan.

"Saya difahamkan ada pihak menghasilkan baju khas sendiri dan kita tiada halangan kerana tema kita warna kuning,” katanya.

Menurutnya, pihak sekretariat turut mengalu-alukan sumbangan makanan dan minuman daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri.

"Sesiapa yang mahu menyumbang dipersilakan kerana kalau satu Selangor turun memang perlukan makanan dan minuman," jelasnya.

Beliau berkata, peserta disaran menunaikan solat Asar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum bergerak ke lokasi himpunan di Pintu 1 Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Katanya, garis panduan lengkap termasuk larangan provokasi dan penggunaan sepanduk akan dikeluarkan sekretariat dalam masa terdekat bagi memastikan himpunan berjalan aman dan teratur.

Mengulas dakwaan himpunan itu bermotif politik, Mohd Zai menegaskan, institusi raja-raja Melayu adalah payung kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

"Ini bukan ruang politik, tetapi ruang rakyat menunjukkan sokongan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu," tambah beliau.

Kira-kira 500 peserta termasuk penyokong beberapa parti politik dijangka menyertai Himpunan Daulat Tuanku pada Sabtu ini susulan kontroversi membabitkan titah Sultan Selangor.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, himpunan itu mendapat sokongan beberapa parti politik termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain turut disertai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) serta badan bukan Islam (NGI).