
PETALING JAYA – “Ini adalah hantaran terakhir daripada saya berkaitan arwah adik.”
Itu kenyataan abang kepada Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, yang memaklumkan, semalam adalah terakhir kali dia mengemas kini perkongsian di media sosial mengenai arwah adiknya yang juga pemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan, Pahang.
Menggunakan profil @Iqiekazama di Threads, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang datang pada hari terakhir pengoperasian kafe berkenaan, kelmarin.
Dia mendedahkan, awalnya risau tentang keselesaan pelanggan yang menunggu memandangkan hari tersebut merupakan hari terakhir dan berfikiran pasti ramai pelanggan akan datang.
“Tapi alhamdulilah, semua yang datang sangat bersabar. Sama-sama menyantuni antara dua pihak dan paling saya terharu, ada pelanggan yang membayar lebih daripada harga sebenar dan ada juga tidak meminta baki duit.
“Rakyat malaysia sangat baik! Saya juga ingin berterima kasih kepada saudara-mara serta kawan-kawan yang memberi sumbangan tenaga dan masa dengan sukarela,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Sofiya bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur 1, Temerloh, Selasa lalu.
Susulan itu, keluarga Allahyarham Sofiya mengumumkan Secangkir Cafe tidak akan meneruskan operasi kerana mereka tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek yang menjadi identiti kafe berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Ini hantaran terakhir berkaitan arwah adik – Abang pemilik Secangkir Cafe appeared first on Kosmo Digital.






