‘Jangan persoal lagi kenapa tutup Secangkir Cafe’

6 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jangan persoal lagi kenapa tutup Secangkir Cafe’

KUANTAN – Keluarga mangsa nahas ngeri yang meragut nyawa tiga beranak meminta orang ramai berhenti mempersoalkan mengenai tindakan mereka menutup Secangkir Cafe yang diusahakan arwah selepas mengambil kira pelbagai faktor dan ketia­daan waris.

Muhammad Hafiz Rifqi Mohd. Kazwan, 32, berkata, perniagaan itu tidak ada pewarisnya ekoran anak adiknya, Muhammad Armaan Nazeef, 4, turut maut dalam kejadian Selasa lalu.

“Kalau ada anak arwah saya akan sambung tetapi sekarang saya nak usaha untuk siapa.

“Saya berharap orang ramai tidak mempersoalkan lagi penutupan cafe berkenaan memandangkan ia dilakukan setelah mengambil kira pelbagai faktor khususnya tiada waris atau anak adiknya yang bakal mewarisi kafe berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, ­Allahyarham Nur Atiqah Sofiya, 32, bersama suaminya, Naza­tullah Nazmi, 32, dan anaknya Muhammad Armaan Nazeef maut dalam kejadian kemala­ngan melibatkan 11 buah ken­deraan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini.

Pasangan itu merupakan pe­ngusaha Secangkir Cafe yang ter­kenal dalam kalangan pelanggan di sini.

Menurut Muhammad Hafiz Rifqi, kesemua adik beradiknya mempunyai pekerjaan sendiri dan dia turut mengusahakan perniagaan kedai makan, Siakap Bakar Sumbat.

“Kami tidak kaya tetapi cukup dan saya ada kedai sendiri. Lagi pun sememangnya tidak mampu membuat kek seperti mana air tangan Allahyarham,” katanya.

Menurutnya, operasi Secangkir Cafe yang dibuka selepas wabak Covid-19 melanda berakhir semalam selepas semua kek dan minuman serta bahan-bahan masakan dijual kepada orang ramai.

Katanya, terserah kepada pemilik tanah dan premis untuk menyewakan tapak berkenaan kepada sesiapa sahaja selepas tempoh sewaan bulan ini tamat.

“Sebenarnya saya banyak membantu arwah membuka premis ini termasuk membeli barang-barang, jadi semalam memang saya tidak dapat menahan sebak melihat satu persatu barang dijual dan dikosongkan,” katanya.

Sementara itu seorang pelanggan tetap, Rohida Abdul Wahab, 50, berkata, dia agak sedih apabila mendapat tahu Secangkir Cafe akan ditutup dan berakhir kelmarin.

Katanya, keenakan kek yang dijual di Secangkir Cafe sememangnya tidak dapat ditandingi dan akan menjadi kenangan buat semua pelanggan.

“Saya sampai di sini dalam pukul 3.20 petang dan saya tidak sangka semua kek terakhir air tangan Allahyarham telah habis dijual,” ujarnya.

The post ‘Jangan persoal lagi kenapa tutup Secangkir Cafe’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved