‘Ramai call, minat ambil alih Secangkir Cafe’

LocalBusiness & Finance
5 Sep 2026 • 10:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Ramai call, minat ambil alih Secangkir Cafe’

KUANTAN – Premis Secangkir Cafe yang diusahakan Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, mendapat perhatian apabila ramai pihak menyuarakan minat untuk mengambil alih sewaan kedai berkenaan selepas keluarga memutuskan tidak meneruskan operasi perniagaan.

Abang arwah, Muhammad Hafiz Rifqi, 33, berkata, buat masa ini pihaknya menyerahkan kepada pemilik tanah untuk menentukan penyewa baharu yang bakal mengusahakan premis berkenaan.

“Ramai yang menghubungi kami dan menyatakan minat untuk mengambil alih dan membuka kafe di situ, tetapi kami serahkan kepada tuan tanah untuk memilih penyewa yang sesuai.

“Selepas tuan tanah membuat pilihan, baru kami berurusan dengan penyewa berkenaan sekiranya mereka berminat mengambil barangan atau stok yang masih ada di dalam kedai,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Hafiz berkata, penyewa baharu kelak bebas menggunakan nama sendiri dan keluarga tidak mahu nama Secangkir Cafe digunakan selepas operasi ditutup sepenuhnya.

“Kami tidak kisah kalau konsep kafe diteruskan tetapi biarlah menggunakan nama sendiri. Nama Secangkir Cafe itu kami tidak mahu gunakan lagi.

“Bagi kami, kisah Secangkir Cafe berakhir di sini dan selepas ini biarlah orang lain pula meneruskannya dengan cara mereka sendiri,” katanya.

Hafiz berkata, keluarga mengambil keputusan menutup operasi bukan kerana masalah kewangan atau operasi, sebaliknya mereka merasakan tiada sebab untuk meneruskan perniagaan selepas kehilangan Sofiya.

Tambahnya, arwah merupakan individu yang banyak me­nguruskan operasi kafe selain mempunyai minat mendalam dalam pembuatan kek.

“Arwah yang buat dan uruskan banyak perkara di kafe ini. Jadi bila dia sudah tiada, kami tidak tahu siapa yang mahu teruskan.

“Keluarga pula tidak bergantung kepada pendapatan daripada kafe, jadi kami rasa tidak perlu untuk meneruskannya,”katanya.

Beliau berkata, semalam merupakan hari terakhir operasi Secangkir Cafe dengan premis itu dibuka bagi menghabiskan stok makanan, kek, kopi serta ­barangan kering dan basah yang masih ada.

Katanya, kira-kira 90 poto­ngan kek dan 300 cawan kopi disediakan pada hari terakhir operasi semalam.

Menurutnya, Secangkir Cafe mula beroperasi sebelum Ramadan 2024 dan menjadi tempat arwah menyalurkan minatnya menghasilkan pelbagai jenis kek.

Jelasnya, antara kek yang pernah dihasilkan dan mendapat sambutan termasuk banana cake, Victoria sandwich dan Ma­tilda cake, manakala jenis kek akan berubah mengikut trend serta permintaan pelanggan.

Terdahulu, Sofiya bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, maut dalam kemala­ngan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, Temerloh, Selasa lalu.

The post ‘Ramai call, minat ambil alih Secangkir Cafe’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved