
KLANG – Seorang pembantu perancang acara yang sebelum ini didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas pertuduhan membunuh.
Pertuduhan baharu ke atas tertuduh, Low Kean Peng, 35, dibuat selepas mangsa kemalangan, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, meninggal dunia pada 25 Mei lalu setelah 13 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Klang di sini.
Kean Peng bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Zulfiqar di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 13 Mei lalu.
Justeru pertuduhan djalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi memaklumkan mahkamah berhubung pindaan pertuduhan terdahulu mengikut APJ. Mahkamah kemudiannya melepas tanpa membebaskan (DNAA) Kean Peng sebelum pertuduhan baharu dibacakan.
Peguam Ethan Tan kemudian memohon semua pihak termasuk ahli keluarga untuk tidak membuat kenyataan atau ulasan di media sosial berhubung kejadian sehingga kes selesai bagi memastikan proses kehakiman tidak terjejas.
Mahkamah kemudian meminta pihak pembelaan memfailkan permohonan berasingan berikutan prosiding semalam hanya memfokuskan kepada pertuduhan kes jenayah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober ini.
Pada 18 Mei lalu, Kean Peng mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan Zulfiqar parah.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pemandu kereta memandu secara melawan arus dan merempuh penghantar barangan sehingga tercampak. Siasatan mendapati suspek yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Shah Alam memandu melawan arus sejauh 3.5 kilometer.
Sementara itu, bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, menyifatkan pindaan pertuduhan semalam sebagai permulaan kepada usaha menuntut keadilan buat anak sulungnya yang merupakan tulang belakang keluarga.
Keputusan itu membuktikan doa sekeluarga selama berbulan-bulan didengari Allah SWT.
“Allah mendengar doa kami. Ini menjadi penguat semangat untuk kami terus menuntut keadilan buat arwah. Alhamdulillah, pertuduhan akhirnya dipinda (membunuh). Kami hanya mahu keadilan ditegakkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Hamidah Othman, 51, memberitahu, dia sekeluarga akan menghadiri prosiding kes berkenaan sehingga selesai.
“Kehilangan arwah Zulfiqar masih lagi dirasai sehingga kini. Kami amat merinduinya. Hanya ini (proses keadilan) yang mampu kami buat bagi menuntut pembelaan ke atas arwah,” katanya yang menetap di Teluk Intan, Perak.
The post ‘Ini permulaan kepada keadilan buat Zulfikar’ appeared first on Kosmo Digital.






