
GERIK – Seorang pemandu lori didenda RM11,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memindahkan 119 ekor kambing dan 15 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak pada Februari lalu.
Orang kena saman (OKS), Mohd. Syafiq Aiman Amir, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mohd. Syafiq turut berdepan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Syafiq didakwa memindahkan 119 ekor kambing menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai diberi kuasa, di tepi Jalan Raya Timur-Barat dalam daerah Hulu Perak pada pukul 3.30 pagi, 8 Februari 2026.
Dalam prosiding sama, OKS didakwa memindahkan 15 ekor kerbau menggunakan lori di tepi Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Restoran Bondaku , dalam daerah Hulu Perak pada pukul 2.40 pagi, 27 Februari 2026.
Muhammad Firdaus kemudian menetapkan hukuman denda RM6,500 bagi pertuduhan pertama dan sekiranya gagal bayar, OKS diperintahkan menjalani hukuman penjara selama lima bulan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Syafiq didenda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan haiwan ternakan sebanyak RM35,887.50 dan RM36,750 bagi setiap pertuduhan dilucut hak kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa DVS, Roziman Awang Tahrin, manakala OKS diwakili peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori didenda RM11,500 pindah 119 kambing, 15 kerbau tanpa kebenaran appeared first on Kosmo Digital.






