Ini Senarai Muzium Di Sarawak Yang Anda Boleh Lawati

22 Feb 2025 • 12:35 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Boleh la lawat muzium-muzium sini untuk dekati budaya di Sarawak

Ini Senarai Muzium Di Sarawak Yang Anda Boleh Lawati. Sarawak bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, tetapi juga kekayaan budayanya yang tiada tandingan.

Kalau anda seorang pencinta sejarah, budaya, atau seni, muzium-muzium di Sarawak ini wajib masuk dalam bucket list anda. Jom kita lihat senarai muzium yang menarik di Sarawak:

image is not available
Sumber gambar: wikipedia

1. Sarawak Old Building Museum (Muzium Lama Sarawak)

Muzium ini dikenali sebagai muzium tertua di Malaysia dan dianggap sebagai antara yang terbaik di Asia Tenggara. Dibuka pada tahun 1891, ia menempatkan koleksi artifak arkeologi, seni budaya, dan sejarah semula jadi yang cukup mengagumkan. Bangunan lama muzium ini juga merupakan tarikan dengan seni bina kolonialnya yang klasik.

Walau bagaimanapun, muzium ini ditutup sementara untuk kerja pembaikan.

Sebelum ini, lawatan ke muzium ini hanya terhad kepada 15 orang per sesi. Daftar di Borneo Cultures Museum, Aras 1 (bersebelahan eskalator sebelah kanan) untuk mendapatkan pas pelawat.

Harga: Percuma
Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, Taman Budaya, 93400 Kuching
Waktu Beroperasi: pagi 10:30-11:30 dan petang 2:30-3:30

image is not available
Sumber gambar: IPIM

2. Borneo Cultures Museum (Muzium Budaya Borneo)

Dirasmikan pada tahun 2022, muzium ini menjadi salah satu tarikan utama di Kuching. Dengan reka bentuk moden dan interaktif, ia membawa anda meneroka budaya masyarakat Borneo melalui pelbagai pameran digital dan fizikal. Jangan lupa tangkap gambar di bahagian luar muzium yang sangat Instagram-worthy!

Harga: RM10 (dewasa), RM5 (pelajar dan warga emas), percuma (kanak-kanak)
Lokasi: Borneo Cultures Museum, Jalan Tun Abang Haji Openg, 93400 Kuching
Waktu Beroperasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93400 Kuching

image is not available
Sumber gambar: DBKU Sarawak

3. Cat Museum (Muzium Kucing)

Kuching sememangnya dikenali sebagai “City of Cats” dan Muzium Kucing ini adalah lambangnya. Muzium unik ini memaparkan koleksi berkaitan kucing, daripada seni hingga patung, yang pasti mencuit hati pencinta kucing.

Harga: RM3 (dewasa), RM2 (kanak-kanak)
Lokasi: Bangunan DBKU, Jalan Semariang, Petra Jaya, 93050 Kuching
Waktu Beroperasi: Setiap hari (9.30am-4.30pm)

image is not available
Sumber gambar: Muzium Sarawak

4. Sarawak Textile Museum (Muzium Tekstil Sarawak)

Peminat seni tekstil pasti akan jatuh cinta dengan muzium ini. Ia memperkenalkan seni tenunan tradisional masyarakat Sarawak seperti Pua Kumbu dan Songket. Lokasinya yang terletak di pusat bandar Kuching menjadikan ia mudah diakses.

Walau bagaimanapun, tempat ini ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan dan bakal dibuka kepada umum.

image is not available
Sumber gambar: The Halal Xplorer

5. Chinese History Museum (Muzium Sejarah Cina)

Terletak di tepi sungai Kuching, muzium kecil tetapi padat dengan informasi ini memaparkan sejarah komuniti Cina di Sarawak. Anda boleh belajar tentang tradisi dan adat resam mereka melalui artifak, dokumen, dan pameran interaktif.

Harga: Percuma
Lokasi: Jalan Bazar, Sarawak, 93100 Kuching
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

image is not available
Sumber gambar: britishmalaya

6. Fort Margherita and Brooke Gallery

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang sejarah zaman Brooke, inilah tempatnya. Galeri ini memaparkan kisah keluarga Brooke, iaitu keluarga pemerintah Sarawak yang pertama. Pemandangan di sekitar Fort Margherita juga sangat memukau.

Harga: Percuma
Lokasi: Fort Margherita, Petra Jaya, 93050 Kuching
Waktu Beroperasi: Setiap hari (9:00am-4:45pm)

image is not available
Sumber gambar: Jabatan Muzium Malaysia

7. Muzium Warisan Islam Sarawak

Bagi anda yang ingin tahu tentang sejarah Islam di Sarawak, Muzium Islam Sarawak menyediakan koleksi artifak, manuskrip, dan seni bina yang mencerminkan perkembangan agama ini di negeri Bumi Kenyalang.

Harga: Percuma
Lokasi: Jalan P. Ramlee, 93400 Kuching
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

8. Muzium Sejarah Semulajadi

Bangunan ini dibina pada tahun 1908 dan dikenali sebagai ‘Kelab Wanita Kedua’. Ia pernah digunakan sebagai pejabat pentadbiran dan kini mempamerkan koleksi sejarah semula jadi. Antara bahan pameran yang dipaparkan di sini ialah koleksi tipikal mamalia Borneo, invertebrata, reptilia, burung, ikan dan kerang. Peluang melihat spesies yang mungkin pupus atau hampir pupus di muzium ini tidak boleh dilepaskan.

Harga: Percuma
Lokasi: Taman Budaya, 93000 Kuching
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

9. Muzium Warisan Sri Aman Kubu Alice

Fort Alice berkhidmat dengan pelbagai tujuan sepanjang sejarahnya. Fungsi utamanya ketika mula dibina adalah sebagai struktur pertahanan. Kemudian, Fort Alice berkhidmat sebagai bangunan pentadbiran, menempatkan mahkamah, perbendaharaan, hospital, dan pejabat perkapalan.

Pameran di Fort Alice terdiri daripada lima tema yang merangkumi sejarah bangunan kubu dan peristiwa yang mempengaruhi sejarah Sri Aman.

Harga: Percuma
Lokasi: Jalan Kuching/Serian 95000 Pantau, Sri Aman Sarawak, Jalan Sri Aman, Pekan Sri Aman, 95000 Simanggang
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

10. Rumah Sri Aman

Rumah Sri Aman, juga dikenali sebagai Rumah Segi Lapan, adalah sebuah bangunan bersejarah ikonik di Sri Aman. Dibina pada zaman Brooke, ia merupakan kediaman rasmi bagi Residen Simanggang. Ia juga merupakan pusat pentadbiran beberapa jabatan kerajaan dan digunakan sebagai Rumah Rehat Kerajaan.

Pameran di Rumah Sri Aman dibahagikan kepada empat tema; House on the Hill, Era White Rajahs, Perang dan Keamanan, dan akhirnya, Rising Tide.

Harga: Percuma
Lokasi: Jalan Astana, 95000 Simanggang
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

11. Muzium Petroleum

Muzium Petroleum di Miri terletak di atas Power Hill, dahulunya dikenali sebagai Bukit Kanada. Muzium ini dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 2005 dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, dan kini Gabenor Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Harga: Percuma
Lokasi: Jabatan Muzium Sarawak, Canada Hill, Jln Oil Well No. 1, 98000 Miri
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

12. Muzium Arkeologi Niah

Muzium ini terletak berdekatan dengan Gua Niah, salah satu tapak arkeologi paling penting di Malaysia. Muzium Arkeologi Niah memaparkan artifak prasejarah yang ditemui di kawasan tersebut, termasuk sisa-sisa manusia tertua yang ditemui di Asia Tenggara.

Harga: Percuma
Lokasi: 98200 Niah
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

13. Muzium Limbang

Muzium Limbang mempunyai dua galeri utama: Galeri Pentadbiran dan Galeri Pembangunan. Muzium ini mempamerkan sejarah pentadbiran dan pembangunan dari zaman Brooke hingga kini, memfokuskan kepada kawasan Limbang, Trusan, dan Lawas. Selain itu, terdapat paparan khas yang menampilkan Koleksi Hadiah Perdana.

Harga: Percuma
Lokasi: km 11.4, Jalan Pandaruan, Peti Surat 493, 98700 Limbang
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

14. Muzium Wilayah Limbang (Kubu Lama)

Struktur asal dibina pada tahun 1897 dan juga dikenali sebagai Old Fort. Bangunan dua tingkat ini telah menjalani pengubahsuaian pada tahun 1966. Muzium Wilayah Limbang telah dibuka secara rasmi oleh Yang Berhormat Datuk Adenan Haji Satem, Menteri Pembangunan Sosial, pada 27 Ogos 1994. Bangunan asal telah dirobohkan pada tahun 1989 dan dibina semula di tapak yang sama sambil mengekalkan ciri-ciri asal struktur.

Harga: Percuma
Lokasi: 98700 Limbang
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

15. Muzium Wilayah Baram (Kubu Hose)

Kubu Hose telah dibina pada tahun 1898 untuk memantau aktiviti pemberontak yang menentang pentadbiran Brooke. Ia juga berfungsi sebagai hab pentadbiran. Lokasinya strategik kerana ia dibina di atas bukit yang menghadap ke Sungai Baram.

Pada tahun 1994, kubu itu musnah akibat kebakaran. Walau bagaimanapun, ia telah dibina semula di tapak yang sama mengikut reka bentuk dan seni bina asalnya. Setelah siap, ia secara rasmi diisytiharkan sebagai muzium.

Harga: Percuma
Lokasi: Fort Hose, 98050 Baram
Waktu Beroperasi: Weekdays (9:00am-4:45pm), Weekend (10:00am-4:00pm)

image is not available
Sumber gambar: Petrosains Playsmart Kuching

16. Petrosains Playsmart Kuching

Terletak di Pusat Sivik Kuching, Petrosains PlaySmart adalah pusat sains interaktif yang menawarkan pelbagai pameran dan aktiviti berasaskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik). Ia sesuai untuk semua peringkat umur dan bertujuan meningkatkan literasi sains dalam kalangan komuniti tempatan.

Harga: Percuma
Lokasi: Ground floor, Block MPH Kuching Civic Centre, Panggung Udara, Jalan Taman Budaya, 93000 Kuching
Waktu Beroperasi: Isnin-Khamis (9.00am-3.00pm), Jumaat (9.00am-12.00pm)

image is not available
Sumber gambar: FB The Borneo House Museum

17. The Borneo House Museum

Muzium interaktif 3D ini terletak di Jalan Penrissen, Kuching. Ia menampilkan empat zon utama: Alam Semula Jadi Sarawak, Sarawak Lama, Sarawak Hari Ini, dan Makanan Ikonik Sarawak. Setiap zon menawarkan pengalaman yang mendalam tentang budaya, warisan, dan keunikan Sarawak.

Harga: Dewasa (RM19), kanak-kanak, pelajar, warga emas (RM15)
Lokasi: No.1, Jalan Batu 6-7, Jalan Penrissen, 93250 Kuching
Waktu Beroperasi: Selasa-Ahad (9.00am-5.00pm)

Baca juga artikel menarik di bawah: