
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (30 Julai), hasil dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 sehingga 2020 masih lagi menjadi bualan ramai.
Malah, ada segelintir pihak termasuk bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mempersoal pendedahan laporan tersebut ketika musim Pilihan Raya Negeri Sembilan.
Anwar Jelas Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji Bukan Politik Picisan
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendedahan RCI Tabung Haji itu bukanlah isu tindakan politik picisan (murah).
Sebaliknya, ia adalah amanah dan tanggungjawab demi memelihara kepentingan jutaan umat Islam di Malaysia.
Jelas beliau, laporan terbabit perlu dilihat secara serius kerana antara perkara lain yang turut didedahkan adalah teguran serta amaran yang pernah diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2014 dan 2017 namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
“Ini bukan isu politik. Ini soal amanah, satu tanggungjawab kita memelihara kepentingan umat,” katanya yang dipetik dari Berita RTM.
Laporan RCI Bukan Dihasilkan Di Bawah Kepimpinannya, Dapatan Laporan RCI Akan Dibahaskan Di Parlimen
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan laporan RCI itu bukan dihasilkan oleh kerajaan pimpinannya.
“Keputusan kerajaan memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen membahaskan laporan berkenaan pada 11 Ogos ini membolehkan perkara itu dijelaskan secara terbuka berdasarkan fakta dan kandungan laporan,” katanya.
Anwar semalam (30 Julai) dilaporkan berkata sesi persidangan khas bagi membincangkan hasil dapatan laporan tersebut akan diadakan pada 11 Ogos depan selepas perbincangan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Berdasarkan laporan RCI Tabung Haji yang diterbitkan pada Rabu (29 Julai), laporan itu ada mencadangkan agar audit forensik dijalankan bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Kerajaan Ambil Langkah Susun Semula Aset, Lindungi Kepentingan Pencarum
Tambah Anwar lagi, bagi melindungi kepentingan pencarum serta memastikan pengurusan dan syarikat TH yang berdaya maju kekal di bawah institusi berkenaan, kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah penyusunan semula aset TH dengan memindahkan syarikat yang mengalami kerugian ke Kementerian Kewangan.
Tegas Anwar lagi, kerajaan tidak berpolitik mengenai isu itu namun sebaliknya memastikan setiap dakwaan mempunyai asas oleh pihak berkuasa dan tindakan undang-undang diambil jika terdapat kesalahan.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Program Munajat Perdana yang bertempat di Dewan Orang Ramai Linggi.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan sebelum ini secara dasarnya telah bersetuju untuk menerbitkan laporan RCI Tabung Haji namun ia ditangguhkan kerana TH sedang menjalani proses pemulihan.
Tambah beliau, kerajaan tidak mendedahkan laporan terbabit meskipun telah siap tiga tahun lalu kerana mahu mengelakkan rakyat hilang keyakinan terhadap insitusi berkenaan, lapor Berita Harian.
Semalam (30 Julai), bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mempersoal mengapa laporan RCI tersebut dikeluarkan sewaktu musim PRN Negeri Sembilan.
Malah jelas Abdul Azeez, dia sedia disiasat semula dan menjadi orang pertama yang akan beri kerjasama jika benar wujudnya isu salah laku.
Sebagai info, RCI Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 2021 bagi menyiasat isu tadbir urus dan pengurusan operasi TH khususnya melibatkan tempoh dari 2014 hingga 2020.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula
Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji
Baca Artikel Berkaitan: Tabung Haji Rugi RM10 Bilion Sebab Tak Ikut Peraturan & Banyak Masalah Sejak 2014 – Anwar






