amree19/11/2026 - 09:30 NORAINI Ahmad memetik lada Sarawak dalam lawatan rasminya ke Sarawak pada 14 Ogos 2026. - Gambar KPK Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov — Peluang untuk memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan menerusi latihan kemahiran dan jaminan penempatan pekerjaan menjadi antara tarikan utama kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai belia luar bandar menceburi sektor agrikomoditi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pendekatan latihan dan penempatan pekerjaan tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan lagi tahap penyertaan tenaga kerja tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan sektor itu kepada pekerja asing.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan dilaksanakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), dengan beberapa institusi latihan di bawah agensi tertentu serta kerjasama strategik dengan pihak industri sendiri.
"Antara program ditawarkan ialah 'Harvesting Specialist' (HS) dan 'Machine Specialist' (MS), yang menyediakan elaun sara hidup serta kemudahan penginapan sepanjang tempoh latihan kepada peserta," jelas beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen tersebut ingin mengetahui apakah strategi KPK menarik minat golongan belia terutama di luar bandar menyertai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) agrikomoditi yang masih berdepan dengan isu kekurangan tenaga kerja tempatan sejak sekian lama.
Noraini menjelaskan lanjut memberitahu, program dilaksanakan berkenaan turut dilengkapi dengan sistem padanan pekerjaan dan penempatan kerjaya bersama-sama industri, selain penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Menurut beliau lagi, setakat ini seramai 1,202 peserta sudah pun mengikuti latihan menerusi inisiatif berkenaan bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026.
"Selain jaminan kerjaya, KPK turut memodenkan latihan TVET Agri-Komoditi dengan memperkenalkan teknologi baharu termasuk penggunaan dron untuk pembajaan, peralatan automasi, kenderaan berpandu autonomi (AGV), mesin penuaian kawalan jauh serta aplikasi kecerdasan buatan (AI)," karanya.
Dalam sektor perkayuan pula ujar Noraini, latihan menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memberi penekanan kepada teknologi Reka Bentuk Berbantukan Komputer (CAD) dan pemesinan Kawalan Berangka Komputer (CNC).
KPK tambah beliau turut memperluas usaha menarik minat golongan muda menerusi Program Skuad Agrikomoditi yang dilancarkan pada 7 Mei 2026 sebagai platform pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan dan advokasi belia.
Program itu turut memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai peluang kerjaya, penggunaan teknologi, inovasi serta amalan kelestarian dalam sektor agrikomoditi.
Noraini berkata, KPK komited memperluas peluang latihan berstruktur yang memenuhi keperluan industri, selain memastikan peserta mendapat penempatan pekerjaan dan pendedahan kepada teknologi moden bagi menjadikan sektor agrikomoditi pilihan kerjaya menarik kepada belia tempatan. - DagangNews.com






