amree03/11/2026 - 17:41 NORAINI Ahmad (tengah) bergambar selepas pemeteraian memorandum dengan Setiausaha Kehormat MEOA, Ivanpal Singh Grewal (kiri); Presiden MEOA, Ahmad Zachry Anifah Aman (dua dari kiri); Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan RHB, Angus Salim Amran (dua dari kanan) dan Ketua Liputan Pelanggan Agensi dan Kerajaan Negeri, Perbankan Pemborongan RHB, Yazaly Yahya (kanan). Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Sektor perladangan kelapa sawit dan getah bakal menerima dorongan baharu ke arah operasi mampan menerusi kerjasama strategik antara Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA) dan RHB Bank Berhad, yang memberi tumpuan kepada pembiayaan serta pelaburan teknologi hijau.
Kerjasama selama dua tahun itu bertujuan membantu pemain industri mempercepat peralihan kepada operasi lebih mampan, berdaya tahan dan produktif, termasuk menerusi pembiayaan penanaman semula kelapa sawit, tenaga boleh diperbaharui (RE), kecekapan tenaga dan usaha penyahkarbonan.
Menurut kenyataan RHB, persefahaman tersebut dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, yang disaksikan sendiri oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun MEOA ke-95, baru-baru ini.
"Menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada penanaman semula kawasan kelapa sawit yang sudah tua atau kurang produktif, pemasangan sistem solar fotovolta, kemudahan biogas serta penggunaan mesin dan peralatan yang lebih cekap tenaga," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan RHB, Angus Salim Amran berkata, peralihan ke arah kemampanan memerlukan kerjasama erat antara institusi kewangan tempatan dengan pemain industri bagi mengimbangi tuntutan tahap produktiviti tinggi dan pemeliharaan alam sekitar.
Sehubungan itu menurut beliau, kerjasama terbaharu berkenaan diharap akan dapat menghasilkan banyak rumusan yang praktikal serta membuka peluang baharu untuk meningkatkan daya tahan perniagaan dalam jangka panjang, selari dengan aspirasi sifar bersih negara.

Inisiatif lain ujarnya lagi, termasuk projek pemerangkapan gas metana, penambahbaikan kemudahan kediaman dan kebajikan pekerja serta pembangunan ekonomi kitaran semasa yang bakal memanfaatkan hasil sampingan dan sumber biojisim sedia ada daripada aktiviti perladangan.
Presiden MEOA, Ahmad Zachry Anifah Aman berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya membawa pengalaman operasi ahli persatuan kepada RHB bagi membantu pemilik estet menilai pilihan pembiayaan dan pelaksanaan projek yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
"Keberkesanan menerusi kerjasama itu akan dinilai berdasarkan kepada tahap keupayaan pemilik ladang dalam menghasilkan penyelesaian secara praktikal yang mampu meningkatkan produktiviti, daya tahan dan daya saing sektor perladangan sendiri," tambah beliau.
MEOA mempunyai 163 ahli yang secara keseluruhannya mewakili kira-kira 1.2 juta hektar kawasan estet kelapa sawit dan getah di seluruh negara, sekali gus mencerminkan kepentingan industri itu terhadap pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan eksport pertanian Malaysia.
Selain pembiayaan, kerjasama itu turut merangkumi penganjuran bengkel dan sesi libat urus industri bagi membantu ahli MEOA memahami pembiayaan mampan dan peralihan, memenuhi keperluan kawal selia serta mengurus risiko berkaitan perubahan iklim.
Dalam perkembangan berkaitan, RHB memaklumkan kumpulan perbankan itu sudah menggerakkan RM71 bilion menerusi perkhidmatan kewangan mampan setakat ini, daripada sasaran RM90 bilion menjelang 2027 di bawah strategi PROGRESS27. - DagangNews.com



