liza12/05/2026 - 12:11 Kerjasama Shopee bersama YPU Terengganu dapat membantu lebih ramai usahawan memanfaatkan platform e-dagang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei – Shopee dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu melancarkan siri jelajah Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti bagi memperkasa usahawan tempatan melalui penggunaan platform digital dan e-dagang.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri tersebut dalam mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran lebih luas.
Program berkenaan dilancarkan di Terengganu dengan penyertaan usahawan tempatan, bakal pemilik perniagaan, rakan affiliate serta komuniti setempat yang berminat untuk mendalami bidang keusahawanan digital dan menjadi platform perkongsian ilmu serta latihan praktikal berkaitan pengurusan perniagaan dalam talian.
Kerjasama antara Shopee dan YPU Terengganu ini dilihat sebagai langkah strategik dalam membantu usahawan tempatan beradaptasi dengan perubahan landskap perniagaan yang semakin beralih kepada digital.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman berkata inisiatif itu amat penting dalam membantu usahawan kecil beralih daripada model perniagaan tradisional kepada platform digital.
“Dengan adanya pendedahan seperti ini, kita dapat membantu usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka bukan sahaja di peringkat negeri, malah ke seluruh negara dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut.


Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din berkata Terengganu mempunyai potensi besar dalam melahirkan usahawan yang kreatif serta berdaya saing kerana mempunyai pelbagai produk tempatan seperti makanan tradisional dan barangan buatan tempatan yang mempunyai permintaan tinggi jika dipasarkan secara digital dengan betul.
“Kerjasama bersama YPU Terengganu ini diharap dapat membantu lebih ramai usahawan memanfaatkan platform e-dagang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Terengganu memiliki ramai usahawan berbakat dengan produk unik. Melalui inisiatif ini, kami mahu membantu mereka membina kehadiran digital yang lebih kukuh dan mencapai pelanggan yang lebih luas,” katanya.
Program Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara membuka kedai dalam talian, meningkatkan keterlihatan produk serta strategi pemasaran digital. Ia juga merangkumi penggunaan ciri seperti Shopee Live dan kempen promosi.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada Program Shopee Affiliate yang membolehkan individu menjana pendapatan tambahan melalui promosi produk di media sosial. Pendekatan ini dilihat mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Sesi perkongsian turut diadakan bersama ShopeeXpert dan penjual tempatan yang berkongsi pengalaman sebenar dalam membangunkan perniagaan dalam talian. Mereka berkongsi cabaran serta strategi dalam menyesuaikan diri dengan perubahan trend pengguna.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Shopee dalam memperkukuh ekosistem digital di Malaysia. Melalui kerjasama dengan agensi tempatan seperti YPU Terengganu, lebih banyak usahawan dijangka dapat memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital yang semakin berkembang. - DagangNews.com






