Inkues Kematian Zara Qairina: Ibu Bapa & Peguam Remaja Tertuduh Dibenar Jadi Pihak Berkepentingan

Entertainment
3 Sep 2025 • 1:48 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Zara Qairina memasuki fasa baharu apabila Mahkamah Koroner hari ini membenarkan ibu dan bapa pelajar Tingkatan Satu itu serta peguam lima remaja tertuduh sebagai pihak berkepentingan.

Menurut laporan Berita Harian, Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan kedua-dua ibu bapa arwah, Noraidah Lamat, 45, dan Mahathir Hashim @ Marikin, 44, menerusi peguam masing-masing pada prosiding permohonan pagi tadi.

Noraidah diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Manakala bapa arwah Zara pula diwakili peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

image is not available

Koroner Amir Shah kemudian membenarkan permohonan peguam mewakili lima remaja yang dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak atas kesalahan buli untuk menjadi pihak berkepentingan.

Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada lima pesalah kanak-kanak terbabit, manakala empat lagi diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Peguam Ram Singh menjelaskan mereka perlu dibenarkan sebagai pihak berkepentingan untuk melindungi kepentingan kanak-kanak yang diwakili mereka.

Sementara itu, Mahkamah Koroner juga membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan wakil dari Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai pemerhati dalam prosiding inkues.

Difahamkan, seramai 68 saksi akan dipanggil sepanjang inkues yang dijangka berlangsung selama sebulan, termasuk 35 remaja.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.