Inkues Zara Qairina: 42 audio jadi bukti, ibu dedah perbualan terakhir sebelum insiden

8 Oct 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina: 42 audio jadi bukti, ibu dedah perbualan terakhir sebelum insiden
Noraidah (kiri) sahkan 42 rakaman audio termasuk perbualan dengan anaknya, Zara Qairina.

KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir mengesahkan sebanyak 42 audio yang dimainkan di Mahkamah Koroner, dengan sebahagian besar daripadanya merupakan perbualannya dengan anaknya.

Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 dalam inkues ini mengesahkan perkara itu selepas peguam Shahlan Jufri meminta audio berkenaan didengar di mahkamah, selain menjelaskan rakaman tersebut dibuat secara automatik menerusi telefon bimbit miliknya.

"Semua audio dirakam secara automatik dalam telefon bimbit saya," katanya.

Menjawab soalan Shahlan mengenai tindakan yang dilakukannya terhadap rakaman berkenaan, Noraidah berkata, beliau memindahkan kesemua audio tersebut ke dalam komputer riba sebelum telefon bimbitnya diambil polis.

"Saya mendengar semula untuk mengenal pasti nama-nama yang Zara sebut. Sebelum telefon saya diambil polis, saya telah pindahkan semua rakaman ke dalam laptop saya," katanya.

Bagaimanapun, Noraidah menjelaskan bahawa panggilan terakhirnya dengan Zara Qairina berlaku pada malam 14 Julai 2025, dengan menggunakan telefon milik rakan anaknya.

"Panggilan terakhir adalah pada 14 Julai (Isnin malam) menggunakan telefon kawan Zara," katanya.

Menurut Noraidah, pada panggilan kira-kira tiga minit itu, Zara Qairina memaklumkan makanan yang disimpannya di asrama telah dikacau monyet sebelum memberitahu seorang pelajar senior mahu bertemu dengannya.

Ditanya lanjut, mengapa rakaman pada tarikh tersebut tidak ada dalam simpanannya, Noraidah menjelaskan bahawa panggilan berkenaan tidak dirakam secara automatik.

Noraidah memaklumkan bahawa dia telah mematikan fungsi rakaman bagi panggilan tersebut susulan kapasiti memori telefon bimbitnya yang hampir penuh.

"Sebenarnya, telefon saya sudah berusia enam tahun. Memorinya sudah hampir penuh, hanya tinggal baki 10GB sahaja lagi. Jadi untuk mengelak telefon bimbit saya jem kerana banyak gambar dan maklumat di dalamnya, mana-mana panggilan yang saya teringat, saya akan matikan. Mana-mana yang saya tidak teringat, akan automatik terakam," katanya.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui Zara ketika itu bersama rakannya, Noraidah berkata perkara itu diketahuinya selepas bertanya kepada anaknya ketika panggilan berkenaan berlangsung.

"Sebab pada waktu itu saya ada bertanya. Macam biasa saya akan tanya, 'Ra, siapa kawan kau?," katanya.

Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina tidak kedengaran sedih ketika menceritakan mengenai makanan yang dikacau monyet dan pelajar senior berkenaan, sebaliknya kedengaran teruja apabila mengetahui pelajar senior mahu menemuinya.

Lagi artikel berkaitan:

Lima remaja bawah 18 tahun akan didakwa kes buli Zara Qairina

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved