
Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner pada Rabu bahawa dirinya hanya mengetahui maklumat tertentu mengenai apa yang berlaku kepada anaknya pada malam 15 Julai 2025 menerusi media sosial dan prosiding inkues, bukannya daripada pihak sekolah atau polis.
Noraidah Lamat, 46, saksi ke-82, berkata dia menggunakan media sosial untuk mengetahui apa yang berlaku selepas Zara ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Katanya dia berbuat demikian kerana tiada pihak memaklumkan kepadanya mengenai kejadian yang menimpa Zara.
“Saya berbuat demikian bukan dengan niat atau perasaan benci terhadap sesiapa tetapi hanya untuk mencari jawapan mengenai apa yang berlaku kepada Zara, anak tunggal saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Noraidah berkata beberapa guru dari sekolah berkenaan menemuinya di hospital dan di rumahnya selepas kejadian.
“Bagaimanapun dalam pertemuan tersebut, tiada seorang pun guru memberitahu saya apa yang berlaku kepada Zara walaupun saya sudah bertanya kepada mereka.
“Jawapan mereka tetap sama — semua pelajar tidur awal pada jam 11 malam. Tiada saksi yang melihat kejadian itu pada malam berkenaan,” katanya.
Beliau berkata Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) sekolah berkenaan memberitahunya di tanah perkuburan supaya tidak menjadikan kejadian itu tular.
“Di rumah saya, beliau berkata pihak atasan melarang SMKA TDM daripada memberikan maklumat kepada saya mengenai kematian Zara kerana kes itu masih dalam siasatan polis.
“Apabila saya bertanya siapa pihak atasan itu, jawapannya ialah pegawai penyiasat Papar dan bahagian integriti,” katanya.
Noraidah turut berkata beliau pernah diminta oleh pengetua sekolah supaya tidak membuat laporan polis.
“Saya juga tidak pernah dimaklumkan mengenai siasatan dalaman yang dijalankan oleh pihak sekolah berhubung kejadian pada malam 15 Julai 2025. Saya hanya mengetahui mengenai siasatan dalaman itu melalui prosiding inkues,” katanya.
Noraidah berkata beliau turut pergi ke sekolah Zara untuk mengambil barangan milik anaknya dan disambut warden asrama Cikgu Rohayati dan Cikgu Rahmatina.
“Saya ditunjukkan lokasi barangan Zara yang telah dikemas dan diletakkan di bilik pengasingan (bilik sakit).
“Saya menyerahkan surat rasmi untuk mendapatkan maklumat awal mengenai apa yang berlaku kepada Zara. Bagaimanapun saya tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya.
Menurut Noraidah polis menghubunginya buat kali pertama pada 16 Julai 2025 ketika beliau berada di HQE.






